Hiburan
“Jangan Tuduh Sahabat-Sahabat Saya Macam Tu, Mereka Buat Video Call Satu Jam Sebelum Majlis Pernikahan Saya!” – Mamat Sepah
Pelawak, Mamat Sepah terkilan kerana netizen melemparkan tuduhan melampau terhadap sabahat-sahabatnya Jep, Shuib, Rahim dan Pakya yang juga anggota kumpulan Sepahtu kerana tidak menghadiri majlis pernikahannya pada Ahad lalu.
Mamat ketika dihubungi Gempak berkata, dia terkilan kerana netizen yang tidak tahu cerita sebenar sanggup membuat tuduhan melulu terhadap rakan-rakannya.
“Jangan tuduh sahabat-sahabat saya macam tu, mereka ada hubungi saya menerusi panggilan video satu jam sebelum saya bernikah.
“Saya sedih apabila ‘adik beradik’ saya, Jep dan Shuib dikatakan sengaja tidak hadir dan lupakan saya.
“Nasihat saya, kalau tidak tahu apa-apa janganlah bercakap sesuka hati. Selain mengguriskan hati orang lain anda juga menambah dosa sendiri,” katanya kesal.
Tambah Mamat, anggota Sepahtu menghubunginya dan mengucapkan tahniah serta memohon maaf tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen program Sepahtu Reunion Live.
“Mereka ada penggambaran. Saya faham komitmen sahabat-sabahat saya. Saya terharu apabila mereka hubungi saya.
“Itulah momen yang paling membahagiakan saya…Disebabkan itu saya sempat merakam momen tersebut (panggilan video) untuk dijadikan kenang-kenangan,” katanya.
Lagipun kata Mamat, dia ada bertemu Jep seminggu sebelum bergelar suami.
"Kami ada berjumpa dan dia ucap tahniah dan beritahu awal tidak dapat hadir ke majlis saya nanti. Sebab itu saya kata, jangan suka menuduh tanpa usul periksa," katanya.
Terdahulu, Shuib telah dihentam di ruangan komen selepas memuat naik foto pernikahan Mamat di IGnya.
Rata-rata mempertikaikan ketidak hadiran Shuib dan Jep pada hari bersejarah Mamat yang pernah bersama-sama mereka dalam kumpulan Sepah suatu ketika dahulu.
Must-Watch Video