Pelakon popular, Zul Ariffin mengatakan urusan kerjanya sebagai seorang pelakon berjalan lancar meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang berkuatkuasa.

Menurut Zul, meskipun cara penjagaan keselamatan lebih ketat, namun dia tidak merasakan pelaksanaan PKPB memberi kesukaran.

"Meneruskan kerja sebagai pelakon ketika pelaksanaan PKPB bukanlah susah, cuma cara menjaga keselamatan dan kesihatan itu agak ketat.

"Setakat ini, semuanya masih berjalan dengan baik, meskipun ada pihak produksi yang menjalani penggambaran di luar daerah, tetapi semuanya ada surat kebenaran dari pihak berkuasa," katanya.

Zul berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambah Zul, dia menyedari tentang risiko penularan wabak COVID-19 di set penggambaran.

"Setiap individu yang berada di set penggambaran harus berhati-hati kerana jangkitan wabak COVID-19 mudah berlaku, kita tak tahu risiko yang ada pada orang lain dan sejarah perjalanan mereka.

"Apapun, bukanlah susah untuk bekerja ketika pelaksanaan PKPB ini, cuma semua pihak harus berhati-hati dan mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya lagi.

Dalam Penunggang Agama, Zul memegang watak sebagai seorang suami yang kuat agama dan berhadapan cabaran getir apabila ahli keluarganya mengalami gangguan makhlus halus.

Penunggang Agama turut dibintangi oleh Azira Shafinaz, Nasir Bilal Khan dan Johan Asari dan dijangka menemui penonton menerusi Astro First pada tahun hadapan.

Sementara itu, semalam Gempak melaporkan, penyanyi dan pelakon Alif Satar memaklumkan dirinya dijangkiti Covid 19. Alif baru membuat persembahan pada malam pertama pusingan semi final Muzik Muzik 35 pada Jumaat lalu dan sedang menjalani penggambaran sebuah drama.