Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Janna Nick Sedia Jadi Ibu - “Sekiranya Ada Rezeki, Mungkin Saya Akan Mula…”

Asyikin Mayudin
10/06/2023 01:34 MYT
Selamat bernikah dengan aktor Dini Schatzmann pada pagi Sabtu, pelakon Janna Nick meluahkan rasa syukur dengan majlis pernikahan mereka yang berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Malah Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner turut teruja melangkah ke fasa yang baharu dengan menjadi seorang isteri selain sudah bersedia bergelar ibu.

“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada single ke isteri dan insya-Allah, seorang ibu.

“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” katanya.

Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerja-kerja seni dan bersedia sekiranya dikurniakan rezeki cahaya mata.

“Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.

“Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” kongsinya.

Terdahulu, Janna Nick sah menjadi isteri kepada Dini Schatzmann dalam majlis pernikahan yang diadakan di sebuah masjid yang dipercayai di Langkawi, kira-kira pukul 8.35 pagi, Sabtu.

Dengan sekali lafaz, Dini dan Janna dinikahkan oleh Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya, berwalikan bapa kepada aktres itu dan bersaksikan sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri serta Amar Fikri.

Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut selain turut disiarkan secara langsung eksklusif di TikTok Gempak.

Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Pasangan tersebut seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lenyapkan Teka-Teki, Janna Nick & Dini Schatzmann Selamat Bernikah Secara Tertutup


#pelakon #Nikah #Janna Nick #Langkawi #Dini Schatzmann
;