Gara-gara watak Zafran yang dibawa menerusi drama I Promise, Janji Anaqi pelakon Talha Harith mengakui menerima kecaman daripada warganet.

Bagaimanapun kata Talha, kecaman tersebut bukanlah kepada dirinya tetapi Zafran, seorang suami kaki pukul dan bengis.

“Memang ada yang kata saya jantan tak guna, jahat, berlakon macam beruk, botak kurang hajar sebab Zafran. Tetapi saya tidak ambil hati.

“Sekurang-kurangnya saya tahu watak yang dibawa itu berjaya diterjemah dan sampai. Dalam perkara ini saya berterima kasih kepada Emma Maembong kerana dia memberikan yang terbaik untuk menjayakan babak-babak tersebut,” katanya.

Talha berkata, setiap kali untuk menjayakan babak pukul dia dan Emma biasanya akan merancang dan berbincang terlebih dahulu.

“Saya dan Emma akan rancang dulu apa aksi yang akan dilakukan untuk mengelak kecederaan atau perkara yang tidak diingini.

“Ketika penggambaran Emma tidaklah tercedera apabila melibatkan watak kami berdua. Kalau dengan Sharnaaz ada la lebam sikit.

“Apapun terima kasih kepada pengarah Hadith Omar kerana memberi kami kebebasan dan buat apa yang kami rasakan sesuai untuk menghidupkan babak dilakonkan,” katanya.

A post shared by Talha Harith (@talhaharith)


Selain itu, Talha berkata ada juga peminat yang tidak mengenali pelakon yang melakonkan watak Zafran, pada mulanya.

“Ada yang watak Zafran itu pelakon baru. Masuk episod kedua baru ada yang perasan saya. Mungkin kerana saya botak dan berat badan bertambah.

“Memang saya naikkan berat badan untuk watak Zafran ni. Saya tak ralat berat badan naik sebab kalau saya kurus macam dulu memang tak kena la dengan watak Zafran ni,” katanya.

I Promise, Janji Anaqi sebanyak 28 episod arahan Hadith Omar ini sudah menemui penonton di Astro Ria sejak 6 Disember lalu, jam 11 malam.

Selain Talha, Sharnaaz dan Emma, ia turut dibintangi antaranya Dayana Roza, Elyas Abdullah, Isaac Imann, Izuan Razali dan Ikhwan Khairudin.