Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jari Kelingking Shahronizam Putus, Pisau Tersasar Ketika Potong Ayam Selepas Berbuka Puasa!

Amri Hassan
11/04/2023 23:50 MYT
Bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam, Shahronizam Noor dikejarkan ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur gara-gara pisaunya tersasar sewaktu sedang memotong daging ayam semalam.

Anak tirinya, Daniel Khairi berkata kepada media, insiden malang itu berlaku selepas mereka sekeluarga selesai berbuka puasa di rumah.

"Abah pergi ke dapur untuk memotong daging ayam sebelum diberikan kepada kucing peliharaan kami.

"Malang tidak berbau, dalam proses penyediaan makanan kucing itu, pisau abah tersasar lalu terkena jari kelingkingnya.

"Melihat jarinya yang terkulai putus, kami membawa abah ke hospital untuk mendapatkan rawatan memandangkan kecederaannya parah," ujar anak kepada penyanyi Safura Yaacob bersama bekas suami terdahulu, Hairi Kool itu.

Tambah Daniel, petugas perubatan pada malam itu berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka tersebut, manakala jari yang putus dimasukkan ke dalam sebuah bekas dan dibekukan.

"Waktu itu doktor pakar tiada. Petugas di situ beritahu, kena tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari tersebut boleh disambungkan balik atau tidak.

"Siang tadi doktor pakar menjelaskan jari itu tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri telah putus," ceritanya.

Berkata lanjut keadaan ayah tirinya, Daniel mengatakan Shahronizam kini stabil dan sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh.

#pelakon #Jari #Safura #Putus #Potong Ayam #Kelingking #Shahronizam
;