Jenazah Allahyarham Mamat Khalid, 58, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Masjid Paloh, di sini kira-kira pukul 2.26 petang.

Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Ahad.

Terdahulu, jenazah pengarah tersohor itu disolatkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam dekat sini.

BACA: Mamat Khalid Meninggal Dunia

Hadir pada majlis pengebumian tersebut ialah ahli keluarga dan waris terdekat.

Selain itu, beberapa rakan selebriti termasuk Datuk Awie; Pekin Ibrahim; Zul Ariffin; Khir Rahman; dan ramai lagi turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Pemergian allahyarham meninggalkan isteri, Hasmah Hassan bersama lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Minatnya terhadap muzik rock mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005 seterusnya menghasilkan francais filem Kampong Pisang yang menambat hati peminat filem tanah air.