Baru-baru ini, kecoh di laman sosial apabila jenazah Dali Wassink iaitu suami kepada pelakon Jennifer Coppen dari Indonesia diuruskan secara kremasi atau dibakar.
Sungguhpun sudah memeluk Islam, ramai dalam kalangan netizen tertanya-tanya, mengapakah jenazah Dali tidak dikebumikan seperti jenazah muslim lain.
Justeru, media Indonesia melaporkan, urusan pembakar jenazah telah diuruskan oleh keluarga Dali sementara Jennifer tidak mempunyai kudrat untuk berbuat apa-apa.
Namun, ketika upacara menabur abu di Pantai Lembeng, Bali pada Ahad, Jennifer membuka mulut dan memberitahu sebab utama mengapa jenazah suaminya dibakar, bukan dikebumikan.
“Kenapa Papa Dali (panggilan untuk suaminya) dibakar? Saya mahu minta kalian hargai sahaja keputusan keluarga. Dan itu memang permintaan Papa Dali," jelas Jennifer.
Sungguhpun begitu, Jennifer tetap menegaskan bahawa Dali telah memeluk Islam.
Namun, Jennifer memberitahu, Dali masih belajar dan belum mengerti soal kewajiban dikebumikan.
"Memang Papa Dali mualaf, Papa Dali baru belajar agama Islam dan dia belajar (tentang agama Islam). Sebelum makan dia baca Bismillah, sebelum Kamari (anak) makan diminta baca Bismillah. Masuk rumah sebut Assalamualaikum," ungkap Jennifer.
"Tapi mungkin belum belajar banyak, jadi Papa Dali belum terlalu mengerti tentang agama Islam. Dan memang itu permintaan Papa Dali… Dia ingin dibakar. Tolong dihargai sahaja keputusan Papa Dali. Sekarang Papa Dali sudah tenang," katanya lagi.
Jennifer Coppen juga membantah isu lain. Dengan tegas, dirinya mengaku sudah mengadakan tahlil di rumah walaupun tidak dikongsi ke media sosial.
Difahamkan, Jennifer menyimpan sebagian abu Dali dalam botol kecil yang dijadikan kalung.
Untuk rekod, Dali Wassink meninggal dunia di hospital selepas mengalami kemalangan jalan raya di Jalan Sunset Road, Kuta, Bali pada 18 Julai 2024.
Sumber: IDN Times