Jijik! Pelanggan Sanggup Letak Sendiri Lipas Dalam Makanan Demi Makanan Percuma
Sepotong video memaparkan perbuatan empat sekeluarga meletakkan lipas di atas pinggan restoran untuk makan secara percuma tular baru-baru ini.
Bawa bekas kecil isi lipas
Menurut laman berita Oddity Central, kejadian itu terbongkar selepas pihak pengurusan sebuah restoran di Puerto Chale, Guadalajara, Mexico melihat semula rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Dalam rakaman itu, seorang wanita berambut perang dalam keluarga tersebut mengeluarkan bekas kecil dari dompetnya lalu cuba mengalihkan ‘objek’ di dalam bekas ke atas pinggan.
Apa yang kelihatan seperti lipas itu enggan keluar dari bekas tersebut, menyebabkan wanita berkenaan mengambil garpu dan cuba memaksa ia keluar.
Selepas serangga itu keluar, keluarga tersebut memanggil pelayan lalu berpura-pura marah dengan kehadiran lipas tersebut.
Selepas mengadu tentang kejadian itu, keluarga tersebut meninggalkan restoran dengan semua makanan yang mereka pesan, dibungkus tanpa membuat sebarang bayaran.
Pihak pengurusan restoran itu kemudian memuat naik klip video itu di internet sebagai peringatan kepada pemilik perniagaan lain.
Selepas video itu menjadi tular, sebilangan pengguna platform X tampil menuduh keluarga tersebut sebagai menipu beberapa restoran lain di Guadalajara dengan menggunakan taktik serupa.