"Jika Anda Tiada Hal Yang Baik Untuk Diperkatakan, Jangan Cakap Langsung" - Bella Astillah Minta Hentikan Body Shaming

ZULHILMI JALIL
Disember 30, 2019 05:09 MYT
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah meminta orang ramai untuk membuang sifat yang suka memperlekehkan fizikal seseorang atau lebih dikenali sebagai body shaming.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, berkata, tindakan yang disifatkan sebagai tidak wajar itu sama seperti seolah-olah memberitahu seseorang bahawa mereka berpenampilan hodoh.
"2020 sudah dekat, hentikan body shaming. Saya tak tahu siapa yang perlu dengar ini, tetapi memberitahu seseorang bahawa mereka terlalu kurus (tak makan ke), gemuk, gigi tak cantik atau macam-macam lagi sebenarnya sama dengan memberitahu seseorang mereka itu hodoh.
"Body shaming tetap body shaming tidak kiralah apa yang lebih menarik pada pandangan anda.
"Jika anda tidak mempunyai hal yang baik untuk diperkatakan, jangan cakap langsung. Saya percaya, anda mampu menjadi lebih baik," tulisnya.
Bella meluahkan hal tersebut menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Kata Bella lagi, antara perkara lain yang tidak wajar diperkatakan untuk memperlekehkan seseorang termasuklah hal berkaitan jerawat, parut, dan bulu badan.
Perkongsian pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu kemudian mendapat pelbagai respons.
Rata-rata bersetuju dengan apa yang diperkatakan Bella agar tindakan memperlekehkan fizikal seseorang tidak wajar dijadikan sebagai bahan jenaka.
"Setiap orang cantik dengan bentuk dan warna kulit mereka tersendiri.
"Orang selalu cakap saya ada cacing lah ada, bela sesuatu lah. Padahal saya dah makan kot. Cuma, tu lah tak tahu kenapa tak berisi, hmm, dunia-dunia, mulut-mulut manusia.
"Terima kasih kerana berkongi hal ini. Peringatan yang bagus," komen sebahagian pengikutnya.
#pelakon #Bella Astillah #Pelakon