Hiburan
"Jika Kau Nak Jadi Aku Maka Kau Kena Lalui Apa Yang Aku Rasa" - Syafie Naswip Kongsi Pengalaman Berharga
Pelakon terkenal, Syafie Naswip berkongsi satu pengalaman yang sangat berharga untuk dirinya. Pengalaman yang dikongsikan di Instagram storynya menceritakan detik-detik dia kembali ke bidang lakonan selepas dua tahun mendiamkan diri. Ini kisah yang ditulis oleh Syafie.
Memandangkan aku sukar untuk lelapkan malam ini, maka aku ingin kongsikan cerita daripada pengalaman sendiri. Kejadian berlaku pada tahun 2012, permulaan untuk berlakon semula selepas 2 tahun senyap daripada industri.
Kebetulan aku menerima tawaran 'short film' dari Ikal Mayaang yang diarahkan oleh Ibu Fauziah Nawi. Aku ditawarkan watak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang diinspirasikan daripada watak sebenar iaitu Abang Muha.
Watak itu memerlukan aku untuk tidak boleh melihat, jadi kerana aku mempunyai masalah 'trust issue' yang teruk, maka aku perlu membuat 'kerja rumah' aku sendiri.
Dengan berbekalkan usaha yang kecil itu, aku meminta kebenaran Abang Muha untuk bertemu dan berbual tentang kehidupannya di rumah beliau.
Dari semua aspek aku perhatikan dan ingin tahu lebih lanjut sebelum masuk ke set. Beruntung aku kerana Abang Muha sangat memahami kerja sebagai seorang pemeran seperti aku.
Maka dari situ bertambah sedikit demi sedikit keyakinan aku untuk memainkan watak yang diinspirasikan dari dirinya. Tetapi Abang Muha ada berpesan, "Jika kau betul mahu menjadi seperti aku, kau perlu merasai apa yang aku lalui, BERKERUSI RODA."
Sehingga kini beliau menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana sahaja. Maka aku anggap itu sebagai satu cabaran untuk pelakon muda seperti aku dalam mencari ilmu dalam dunia lakonan.
Peluang yang datang tidak akan aku sia-siakan. Bukan apa, nak menjadi yang terbaik masih jauh lagi tetapi dari segi pengamatan aku, pengalaman itu yang akan mematangkan. Tambahan, aku sangat suka genre Biografi.
Aku buat permintaan dan pihak produksi akur untuk meminjamkan kerusi roda untuk aku berlatih di kawasan rumah. Maka bermula pada hari kejadian. Aku menerima kerusi roda khas yang pancit untuk aku kerjakan.
"Wie kau boleh balik dulu, jumpa dekat rumah. Aku nak try kayuh benda alah ni", aku dengan lagaknya berkata kepada Pawie (adik).
Aku waktu itu siap berjaket seluar jeans segera menanggalkan satu persatu kerana hari terlalu panas. Tak lama ada kawan-kawan yang tidak begitu rapat datang menyapa.
"Ayie, kau kenapa ni?"
Aku serba salah. Niat hati hanya mahu pulang ke rumah. Rupanya aku dah terperangkap. Jam kepala aku waktu itu. Ada dalam 5 buah motosikal keliling aku.
Puas aku menolak pelawaan mereka yang ingin membantu untuk menghantar aku pulang, sambil ada juga yang berair matanya. Nampak keikhlasan hati mereka. Aku kaku dan lebih rasa bersalah.
Nak bangun takut kantoi, dak duduk mereka mendesak, situasi makin menekan aku. Maka aku tanpa berfikir panjang terus berdiri seolah tidak bersalah.
Mereka semua tergamam seolah tidak percaya. Aku khabarkan yang aku tengah berlatih, nampak muka mereka masam mencuka. Hanya maaf aku ucapkan banyak kali.
Aku teruskan perjalanan. Kini tangan aku semakin lenguh mengayuh. Panasa semakin menyengat, kerongkong makin kering. Aku berhenti seketika.
Tiba-tiba datang seorang lelaki menyapa dan menolak kerusi roda aku ke kedai welding besi miliknya.
"Allah, lagi sekali!" kata aku dalam hati.
"Adik, tayar adik ini pancit. Sini, Abang baikikan."
Puas aku menolak secara baik. Baru nak bangun, dia angkatkan aku, letakkan di atas kerusi. Maka mahu atau tidak, aku kena jiwailah watak itu.
Dia pun asyik membaiki tayar itu. Sekali 'POM'. Tayar pecah. Lepas itu dia pula serba salah. Dia nak cari tiup ganti, maka 'jahanam' episod tengahari itu. Tidak aku duga begini akhirnya.
Aku pula ditemani kawannya untuk menemani aku. Beberapa minit kemudian, tayar sudah elok jadi aku minta beransur. Aku pun bangun, sekali lagi aku diangkat dan diletakkan di atas kerusi roda.
"Allahu Rabbi..."
Lepas itu dihulurkan duit RM50 pada aku sambil mahu menolak aku pulang. Kali ini aku berjaya tolak kedua-dua pemberiannya. Mula-mula dia tetap mahu teruskan hasratnya. Aku beriya-iya kata tak apa saya boleh, sehinggalah aku tidak tahu mahu menolak macam mana lagi.
Jadi nak tak nak, aku kena 'exaggerate'. Aku perlu ada dalam karakter.
"Abang, jangan buat saya macam ni Bang. Tolonglah, apa dosa saya Bang sampai semua orang buat sya macam ni.
"Saya boleh berdikari. Saya hargai apa yang Abang buat. Hanya Allah sahaja yang dapat balas kebaikan Abang. Syurga tempat Abang."
Lalu dia juga meminta maaf dan membiarkan aku berlalu pergi.
Kenangan ini sampai bila-bila tidak akan dilupakan. Sentiasa mendidik aku tentang banyak perkara yang manis untuk menjadi seorang pelakon.
Masih ingat dialog Abang Muha tadi? 'Jika kau nak jadi aku maka kau kena lalui apa yang aku rasa'. Dan selepas itu aku faham kenapa Tuhan turunkan insan-insan itu untuk membantu aku. Itu adalah perkiraan dalam cerita Abang Muha yang aku ingin percaya.
Ironi!
Aku tahu masih ramai insan baik di luar sana yang ingin membantu orang dengan penuh keihklasan. Buat mereka yang membantu aku, aku doakan anda semua dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Terima kasih.
Begitulah coretan Syafie Naswip di Instagram Story miliknya yang bercerita sedikit tentang pengalaman hidup seorang pelakon. Bukan sesuatu yang mudah untuk menjadi seorang pelakon yang baik dan bermutu, dan tidak bersandarkan pada paras rupa semata-mata.