Pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 55, perlu menjalani proses membuang air dari badan.

Isterinya, Relawati Daud, 42, berkata kepada Harian Metro, suaminya sudah menunjukkan perkembangan kesihatan positif namun belum pasti bila akan dibenarkan keluar hospital.

“Masih ada lagi lebihan air yang perlu dikeluarkan. Sebanyak 10 kilogram air lagi perlu dikeluarkan dan mungkin sehari dua lagi dijangka boleh pulang ke rumah.

"Apapun, proses pengeluaran lebihan air itu perlu dilakukan segera untuk mencegah daripada gangguan dalaman badannya.

"Jika tidak dibuang, ia boleh menyebabkan kesukaran pernafasan, mengganggu buah pinggang dan kaki bengkak,” katanya.

Menurut Relawati, Bob akan mengambil masa berehat secukupnya selepas keluar dari hospital sebelum kembali aktif untuk memulakan kuliah di Terengganu.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman mengalami masalah kesihatan ketika berada di Terengganu sewaktu menyertai aktiviti jelajah dakwah dan jemputan kuliah selama sebulan.

Dia kemudian dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh baru-baru ini akibat masalah buah pinggang.

Terdahulu, Bob pernah dimasukkan ke hospital sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung.

Sumber: Harian Metro