Autism Cafe Project dengan kerjasama Tanah Aina dan Majlis Bandaraya Shah Alam akan menganjurkan acara Jom Makan Durian pada Ahad, 5 Julai ini.

Menurut pengasas Autism Cafe, Adli Yahya, acara amal itu akan melibatkan penjualan durian organik yang dibawa khas oleh pihak Tanah Aina Cafe.

"Sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, kami di Autism Cafe Project telah menerima kesan dari segi pendapatan, secara tidak langsung, ia turut menganggu kelancaran kami mengendalikan anak-anak Autism di bawah naungan kami.

"Sekarang, dengan kelonggaran yang diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pihak kami membuat keputusan untuk berusaha mendapatkan dana untuk pembinaan dapur yang akan dimanfaatkan oleh anak-anak Autism yang bekerja di kafe kami.

"Memandangkan mereka akan mendapat sesi latihan khas untuk menyediakan makanan secara profesional, jadi, pembinaan dapur yang bersesuaian juga sangatlah diperlukan. Jadi, pemilik Tanah Aina Cafe, Puan Sri Shariffa Sabrina bersetuju untuk menyumbangkan 20 peratus daripada hasil jualan durian serta 10 peratus daripada pendapatan harian Tanah Aina Cafe pada Ahad ini untuk pembinaan dapur kami.





Jelas Adli, pembinaan dapur itu amat diperlukan kerana anak-anak Autism yang bekerja dengannya akan mengikuti latihan secara profesional.

"Anak-anak autism yang bekerja dengan kami akan mengikuti sesi latihan dengan pihak bertauliah untuk menyediakan makanan secara profesional di Autism Cafe Project, jadi, pembinaan dapur ini adalah diperlukan," katanya lagi.

Tambah Adli, acara jualan durian Ahad ini juga akan dikendalikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan para peniaga dan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Memandangkan kita masih dalam fasa PKPP, jadi aspek pematuhan SOP amatlah dititik beratkan. Kami akan merekodkan suhu setiap pelanggan dan menjarakkan kedudukan setiap meja untuk mewujudkan penjarakan sosial," tambahnya lagi.

Difahamkan, Autism Cafe Project telah mula ditubuhkan sejak tiga tahun lalu.

Setakat ini, terdapat kira-kira 42 penghidap Autsim yang bernaung di bawah kelolaan mereka dan lima daripadanya aktif bekerja.