Rewind Networks mengumumkan pelancaran HITS Movies di Malaysia menerusi kerjasama dengan pihak Astro.

HITS Movies boleh ditonton di saluran 401 mulai 17 Januari 2020 dalam versi HD sebagai salah satu ganjaran percuma untuk dinikmati semua pelanggan Astro selama dua bulan.

Kemasukan HITS Movies ke Malaysia merupakan pasaran kelima selepas menembusi pasaran di Singapura, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.

HITS Movies juga dilancarkan di Malaysia beberapa bulan selepas ulang tahun pertamanya pada Oktober lalu.

Menurut Pengarah Konten Astro, Agnes Rozario, pihak Astro sangat teruja untuk bekerjasama dengan Rewind Networks untuk menyajikan lebih banyak filem menarik buat penonton.

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan pihak Rewind Networks untuk menyajikan lebih banyak program menarik khusus buat penggemar filem, ia juga mampu menguatkan lagi tawaran pengisian kepada pelanggan," ujarnya.



HITS Movies meraikan filem-filem blockbuster dari zaman 60-an hingga 90-an. Antara filem yang akan ditayangkan adalah The Sound of Music, Sister Act, Freaky Friday, Breakfast at Tiffany's dan banyak lagi.

HITS Movies juga menayangkan filem yang dihasilkan dari syarikat produksi gergasi seperti The Walt Disney Company, 20th Century Fox, MGM Studios, Paramount Pictures, Warner Bros dan Sony Pictures.