Bekas juara dunia bagi kejohanan MotoGp tahun 2008, Nikcy Hayden maut akibat kemalangan ketika sedang menjalani sesi latihan.

Nicky, 35 telah dilanggar sebuah kereta ketika sedang menunggang basikal pada Rabu minggu lalu dan mendapat rawatan di Hospital Maurizio Bufalini, Italy.

Dia telah dirawat di hospital tersebut selama lima hari namun keadaannya dilaporkan semakin tidak stabil dan disahkan meninggal dunia semalam (Isnin).

Menurut portal berita CNN, tunang, ibu dan abangnya terbang dari Amerika Syarikat ke Italy sejurus dimaklumkan tentang berita tersebut.

Abangnya, Tommy yang berada di sisi Nicky pada saat dia menghembuskan nafas terakhir amat berterima kasih kepada orang ramai yang menyokong Nicky selama ini.

”Saya mewakili ahli keluarga lain mengucapkan jutaan terima kasih kerana telah memberi sokongan yang tidak putus kepada Nicky.

”Saya juga gembira kerana Nicky dapat melakar sejarah selain menjadi kebanggan negara.

”Walaupun kami sedang melalui saat sukar, saya mahukan orang ramai sentiasa mengingati Nicki selama-lamanya,” kata Tommy Hayden kepada pihak media.

Nicky yang berasal dari Amerika Syarikat telah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepada dan beberapa bahagian lain sebelum disahkan meninggal dunia.

Teks oleh : Izzat Ridzwan