Hiburan
Jujur Dengan Muzik Buat Gerhana Ska Cinta Bertahan Selama 16 Tahun
Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan selama 16 tahun bersama, namun kumpulan Gerhana Ska Cinta tetap bertahan sehingga kini.
Ahli kumpulannya Edy berkata, kejujuran dan minat yang mendalam terhadap muzik telah membuatkan mereka berenam masih bersatu dan meneruskan muzik ska.
"Tipulah saya kata selama 16 tahun kami bersama tiada langsung persefahaman. Sedangkan adik-beradik pun boleh bergaduh apatah lagi kami.
"Terlalu banyak pengalaman kami lalui bersama daripada semua ahli masih bujang hinggalah kini masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan komitmen masing-masing.
"Namun kami ketepikan semua masalah dan perselisihan faham itu kerana minat yang terlalu dalam kepada muzik.
"Sebelum ini kami berehat jika ada salah seorang tidak dapat memberikan komitmen kerana tanggungjawab kepada keluarga tetapi kami akan bersatu semula bila semuanya ada," katanya kepada Astro Gempak.
Kumpulan Gerhana Ska Cinta ditemui selepas sidang media Konsert Skankin Festival 2016 di Cartel Coffee Bangi, kemarin.
Enam ahli asal Gerhana Ska Cinta yang masih bersama adalah Widy, Bakri, Fairuz, Rejab dan Jalut serta tambahan seorang ahli baru iaitu bekas ahli kumpulan Fabalous Cat iaitu Farhana.
Selepas dua tahun tidak muncul dengan produk baru, tahun ini Gerhana Ska Cinta tampil dengan single terbaru iaitu Perosak Cinta
.
Widy Gerhana Ska Cinta memberitahu single tersebut adalah 'comeback' buat kumpulan tersebut.
"Tahun ini kami release dengan sebuah single ciptaan ahli kumpulan kami sendiri juga iaitu Edy.
"Ia sudah pun berkumandang di radio pada Ogos lalu dan kami baru sahaja siap dan tampil dengan muzik video.
"Kami harap Perosak Cinta bakal mengubat rindu peminat kami yang selama ini menantikan lagu-lagu baru kami," katanya.
Single Gerhana Ska Cinta yang popular dan muncul dua tahun lalu berjudul Sayang yang turut menampilkan suara Altimet, Salam Music dan Nabila Huda.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video