Jumlah Tontonan Video Muzik Di YouTube Menurun...Ini Komen Shiha Zikir

Asraf Aided
Ogos 12, 2020 10:43 MYT
Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan jumlah tontonan video muzik lagu terbarunya, AEWO di YouTube telah mengalami penurunan secara tiba-tiba.
Menurut sebuah perkongsian di akaun Instagram miliknya, Shiha mengatakan jumlah tontonan video muzik tersebut menurun daripada hampir 400,000 kepada 280,000 sahaja pada hari ini.
Ekoran itu, Gempak telah menghubungi Shiha untuk mendapatkan sedikit komen.
Menurut Shiha, dia sendiri tidak pasti mengenai punca kejadian itu kerana tidak pernah mengalaminya sebelum ini.
"Saya sendiri tak tahu kenapa perkara ini berlaku, kerana saya tidak pernah mengalaminya sepanjang bergelar penyanyi, inilah kali pertama.
"Apa yang boleh saya katakan, mungkin ada pihak yang rasa kurang senang dengan video muzik AEWO, tetapi ia satu kemungkinan sahaja, saya sendiri pun tak pasti," katanya.
Tambah Shiha, meskipun terkejut dengan kejadian yang menimpa, dia tidak akan berputus asa untuk terus melakukan yang terbaik dalam industri hiburan.
"Apapun, meskipun kejadian ini mengejutkan, saya tak akan patah semangat untuk tampil berbeza dan hasilkan video muzik yang berkualiti walau apa pun yang terjadi," katanya lagi.
Baru-baru ini, video muzik AEWO mencuri perhatian apabila ada sesetengah pihak mendakwa ia mengandungi unsur bertentangan Islam atau Iluminati.
Walaubagaimanapun, Shiha telah tampil memberi penjelasan tentang mesej sebenar yang disampaikan dalam video muzik tersebut.
BACA : "Iluminati? Saya Pun Tahu Baik Buruk" - Akhirnya...Shiha Zikir Buka Mulut!
#Shiha Zikir #YouTube #Video muzik