Penyanyi, Kaka Azraff mengesahkan dirinya kini hamil anak ketiga dan usia kandungannya sudah masuk enam bulan.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, perubahan bentuk badanya kali ini tidak ketara menyebabkan ramai yang tidak menyangka dirinya hamil.


“Betul, ini cahaya mata yang ketiga, sekarang usia kandungan sudah mencecah enam bulan. Ramai orang cakap tak sedar saya hamil.

“Sebab muka dan badan saya tak naik, ini yang ketiga, penat juga menguruskan anak kedua yang masih kecil.

“Yang pertama dan kedua ini masih bermanja dengan saya, jadi saya sempat makan apa yang ada sahaja.

“Sebenarnya beberapa bulan pertama, saya mengalami alahan yang agak teruk tapi disebabkan sudah pernah melaluinya sebelum ini, saya okay.

“Bila sudah masuk anak ketiga, saya sudah tahu cara bagaimana untuk mengendalikan alahan,”katanya ketika dihubungi Gempak.

Berbicara mengenai jantina anak, Kaka berkata dia menaruh harapan untuk memiliki anak perempuan namun menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

“Sebenarnya kalau diikutkan keinginan, saya mahukan anak perempuan sejak hamil anak kedua lagi tetapi bila dapat tahu anak lelaki saya okay sahaja.

“Rezeki dan reda, saya gembira dikelilingi anak lelaki dan itu membuatkan saya rasa seperti seorang permaisuri di rumah.

Mengulas mengenai persembahan bertenaganya di atas pentas Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) baru-baru ini, Kaka bersyukur dapat melaksanakan tugasan dengan baik.

“Kadang-kadang saya sendiri terlupa sedang hamil, orang sering mengingatkan saya supaya jangan terlalu lincah.

“Alhamdulillah saya dapat membuat persembahan dengan baik. Tarikh jangkaan bersalin saya pada bulan Jun.

“Saya masih lagi mengambil tawaran bekerja seperti persembahan nyanyian sebab kehamilan kali ini saya lebih santai dan dapat uruskan masa dengan suami,” jelasnya.

Untuk rekod, Kaka mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Adam Azriff pada 14 Disember 2018.

Hasil perkahwinan, Kaka dan Adam dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Aslan, 4, dan Aryan yang kini berusia setahun.

Terdahulu, kemunculan Kaka di pentas AJL37 ketika membuat persembahan menerusi lagu Nuri mendapat perhatian netizen.

Rata-ratanya menyatakan rasa ingin tahu selepas melihat perut Kaka yang seolah-olah berisi seperti ibu hamil.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.