Laman Utama
"Kadangkala Artis Malaysia Ini Bod*h" - Malas Promosi Filem Sendiri, Fadzil Teh Suruh Contohi Salman Khan
Penerbit filem, Fadzil Teh terkilan dengan sikap segelintir artis tempatan yang liat untuk mempromosikan karya lakonan sendiri di media sosial.
Kata pemilik Zeel Production Sdn Bhd itu, sikap berat tulang tidak bertempat artis Malaysia itu turut membuatkannya meluat.
"Kadangkala artis Malaysia ini bodoh. Mereka ini tak tahu ke kalau drama atau filem mereka meletup, yang dapat tawaran kerja banyak serta bayaran tinggi adalah untuk mereka.
"Rasa meluat dengan kerenah artis-artis seperti ini," tulisnya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram.
Menurut Fadzil, selebriti tempatan sepatutnya mencontohi aktor Bollywood, Salman Khan yang tidak berkira mempromosikan karyanya.
"Salman Khan hari-hari promosikan filemnya. Artis kita, nak promosi filem sendiri pun malas.
"Boleh pula bagi alasan, tak nak akaun Instagram dicemari dengan aktiviti promosi. Macamlah duta projek yang datang berjuta-juta," tulisnya lagi.
Sementara itu, Fadzil kini giat mempromosikan filem pertama terbitan produksinya, Seandainya Kau Ada yang mempertaruhkan empat bintang, Fendy Bakry, Ruhainies, Raysha Rizrose dan Aidit Noh.
Seandainya Kau Ada diilhamkan daripada novel judul sama terbitan Buku Prima nukilan Kamsiah Abu.
Filem ini berkisar Syahirah lakonan Raysha yang menjalankan hubungan cinta sejak kecil bersama Fazlur (Fendy) hinggalah Fazlur melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Bagaimanapun, cinta mereka kecundang dalam satu tragedi pahit dan Fazlur tidak mengahwini Syahirah. Kemudian, Syahirah membawa diri ke Uzbekistan dengan belenggu masa silam.
Sementara itu, Fazlur mengahwini Rozita (Ruhainies) dan membuat penderaan mental dan fizikal terhadap Rozita. Namun, cinta Fazlur terhadap Syahirah tidak pernah padam.