Hiburan
Kaka Azraff Akui Pernah ‘Gila’ Kerana…
Penyanyi Kaka Azraff akui pernah berada dalam situasi sama seperti cerita dalam single terbaharunya, Gila.
Menurut Kaka, Gila yang merupakan hasil kolaborasinya bersama Loca B dan Noki K-Clique membawa mesej yang positif kepada mereka yang kurang keyakinan diri dan takut dengan apa yang difikirkan oleh orang.
“Gila mempunyai melodi yang lain daripada yang lain, ia mempunyai bunyi dan cara nyanyian yang berbeza dan unik. Malah bunyinya juga tidak kedengaran seperti tradisional mahupun pop tetapi ia dating dalam mood yang tersendiri.
“Gila membawa mesej yang sangat positif. Ia membuatkan kita supaya yakin dan sentiasa berfikiran positif tidak takut dengan apa yang orang lain fikir.
“Kadang-kadang insecurities ini datang dari diri kita sendiri dan kita perlu atasinya supaya ia tidak membelenggu jiwa.
“Saya sendiri pernah alami situas itu di mana saya terlalu memikirkan apa yang orang kata bila buat sesuatu. Jadi saya perlu atasinya dengan yakin kita sudah buat yang terbaik,” katanya.
Kaka melancarkan video muzik Gila semalam dan ia mula ditonton di YouTube Black Hat Cat pada 17 Ogos 2020.
Mengulas mengenai kerjasamanya bersama Loca B dan Noki, Kaka akui ia satu kolaborasi yang segar dan menarik.
“Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka kerana mereka sangat berbakat. Mereka umpama suara baru dalam industri.
“Bila kita dengar lirik mereka sangat segar dan lain dari lain. Saya sendiri dapat belajar banyak dari mereka,” katanya lagi.
Gila diterbitkan oleh Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.
Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 31 Julai 2020.
Must-Watch Video