Hiburan
Kaka Azraff Teringat Kejadian Rasuk di PLKN
Penyanyi Kaka Azraff berkongsi pengalamannya berdepan kejadian mistik ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 10 tahun lalu.
Kaka ketika dihubungi Astro Gempak berkata, kejadian tersebut berlaku kepada salah seorang peserta wanita ketika menjalani latihan PLKN di Sabah.
"Walaupun benda tu dah berlaku 10 tahun lalu, tetapi sehingga bila-bila pun saya tidak akan lupa kejadian tersebut kerana ia berlaku depan mata saya.
"Saya masih ingat pada suatu malam, seorang pelajar perempuan tiba-tiba diserang histeria. Puncanya saya tidak tahu tetapi kejadian tersebut buat kami semua tak tidur malam.
"Lebih teruk lagi, apabila dia (pelajar histeria) tiba-tiba berlari ke arah hutan berhampiran dorm kami dan menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
"Agak mengerikan apabila suara dia turut bertukar parau ketika sesi rawatan tradisional dijalankan. Masa itulah pertama kali saya tengok pengamal tradisional dari pelbagai agama dan bangsa sama-sama berusaha untuk memulihkan kembali semangat pelajar itu.
"Kasihan juga pada dia, tetapi mujur pegawai cepat bertindak dan pelajar tersebut dihantar pulang ke esokkan harinya," katanya.
Tambah Kaka, walaupun kejadian itu meninggalkan kesan terhadap dirinya namun dia tidak pernah takut atau gentar berdepan kejadian mistik seumpama itu.
"Bukan nak kata saya ni berani sangat, tapi saya memang ada sisi pelik yang suka mengkaji benda-benda mistik macam tu.
"Sebab itu apabila saya terpaksa melakonkan watak dirasuk makhluk halus dalam filem Aliff Dalam 7 Dimensi, saya tidak kekok malah saya imbas kembali kejadian di Sabah, 10 tahun lalu.
"Itulah pertama kali saya melakonkan watak demikian dan ia agak sukar sebenarnya," ujarnya yang memegang watak sebagai Izreen dalam filem tersebut.
Selain Kaka, pelakon lain yang turut membintangi filem arahan Faisal Ishak itu ialah, Juliana Evans, Izzue Islam dan Alif Satar.
Filem terbitan Astro Shaw itu akan menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 8 September ini.
Must-Watch Video