HIBURAN

Kaki Lemah, Muka Cengkung! Andi Bernadee Tak Ambil Bahan Terlarang - "Aku Tak Boleh Kongsi Terbuka, Risau Ada Yang Panas"

Amri Hassan 26/07/2025 | 07:25 MYT
Penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee, mendedahkan bahawa dirinya mengalami kecederaan kaki selepas terjatuh dalam satu insiden yang berlaku kira-kira dua bulan lalu.

Menurut Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika dia sedang berjalan, sebelum rebah sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Aku tengah ada masalah dengan kaki. Dua bulan lepas, aku rebah tiga kali… Tengah berjalan tiba-tiba jatuh.

"Kenapa perkara itu berlaku, aku tak boleh nak kongsi secara terbuka. Risau ada yang panas. Tapi sejak dari tu, kaki aku memang terjejas,” katanya menerusi Instagram Story pada Jumaat.

Tambah Andi, hanya segelintir yang tahu mengenai keadaannya dan kini dia sedang berusaha untuk memulihkan kembali kekuatan kakinya.

Disebabkan itu juga, Andi mula aktif bermain pickleball, sukan yang kini menjadi trend, sebagai salah satu bentuk terapi fizikal.

“Sebenarnya ia beri kesan besar, cuma orang tak nampak. Aku memang rasa perbezaannya. Kaki aku dah tak sekuat dulu.

"Aku main pickleball pun sebab nak kuatkan semula kaki. Ia bantu latih daya tahan dan pergerakan kaki,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Andi turut mendedahkan perubahan gaya hidupnya, termasuk aspek pemakanan dan kesihatan, selepas ditegur produksi ketika menjalani penggambaran sebelum ini.

“Boleh berhenti tanya kenapa aku kurus. Aku kurus untuk diri aku sendiri, bukan untuk sesiapa.

"Tahun lepas aku gemuk, muka nampak kembang waktu penggambaran.
Sampaikan sebab ada double chin, aku terpaksa ubah posisi muka di depan kamera,” katanya.

Andi juga menegaskan dia tidak mengambil sebarang ubat atau bahan terlarang dalam usaha menurunkan berat badan.

“Aku tak ambil Ozempic atau dadah. Alhamdulillah, aku jauh dari benda tu. Aku cuma makan dua kali sehari dalam kuantiti kecil.

"Makan malam aku tak ambil, hanya makan buah-buahan. Jadi tak perlulah risau. Aku sihat dan okay, Alhamdulillah,” kongsinya lagi.
#pelakon #Penyanyi #Kurus #Andi Bernadee #Lemah #Kaki #Cengkung #Rebah #Ozempic