Sejak kebelakangan ini, banyak isu yang kurang enak didengar berlaku dalam kalangan penggiat seni.

Selain keengganan beberapa pelakon popular mengambil vaksin COVID-19 sehingga nama mereka digugurkan daripada penggambaran, kes penangkapan pelakon serta pengarah selepas didapati positif dadah baru-baru ini juga menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat.

Bagi mereka yang tidak terlibat dalam dunia seni, hal-hal sebegini mungkin dilihat sebagai perkara remeh memandangkan ada banyak perkara lain yang lebih besar sepatutnya diberi perhatian.

Namun, bagi karyawan yang mencari rezeki menerusi bidang lakonan, hal-hal sedemikian harus dipandang serius dan perlu dielakkan daripada terus berlaku demi menjaga periuk nasi dan nama baik masing-masing.

Bagi Penerbit Kembara Sufi Production Jaja Ishak, rumah produksinya tidak sama sekali memberi peluang kepada mana-mana pelakon atau kru penggambaran yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Jaja menjelaskan, selain perlu bebas daripada dadah, pelakon dan kru yang dipilih biasanya adalah individu-individu yang sudah biasa bekerja dengannya.

“Bagi mengelakkan nama baik syarikat terjejas, saya akan pastikan yang mereka sentiasa bersih sebelum memulakan penggambaran.

“Kami sesekali tidak akan berkompromi terhadap mereka yang membuat kesalahan (penyalahgunaan dadah). Jika kami dapati mana-mana antara mereka terlibat dengan dadah, nama mereka akan digugurkan serta merta,” katanya kepada Gempak.

Sementara itu, menyentuh mengenai vaksin, Jaja turut memberitahu setiap pekerja dan pelakon yang terlibat dalam penggambaran telah menerima vaksin lengkap.

“Syarat utama untuk berlakon di bawah produksi saya adalah seseorang pelakon itu perlu lengkap suntikan vaksinnya.

“Jika mereka tidak mahu berbuat demikian, kami tidak boleh berbuat apa kecuali mengeluarkan nama mereka daripada produksi penggambaran,” katanya lagi.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!