"Kalau Ada Job Pun Sanggup Tolak Sebab..." - Irma Hasmie Buka Cerita Mengenai Heliza Helmi

ZULHILMI JALIL
Disember 6, 2019 01:55 MYT
Pelakon Irma Hasmie berkongsi luahan hati mengenai sahabatnya yang juga penyanyi Heliza Helmi di Instagram.
Menurut Irma, 37, dia kagum dengan perjuangan yang ditunjukkan Heliza, 33, yang sanggup mengetepikan karier seninya demi menjadi sukarelawan di luar negara bagi misi hak kemanusiaan.
"Mu tau tak yang mu tanpa henti menyumbang masa, bakat, kudrat atau apa sahaja yang mampu dalam kerja-kerja sukarelawan.
"Kalau ada job pun sanggup tolak sebab letak keutamaan nak beri kesedaran dulu tentang isu kemanusiaan. Subhanallah!
"Di syurga nanti sebut namaku ya, janji tau mu!," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Perkongsian Irma itu merupakan satu bentuk dedikasi yang dibuat khas sempena Hari Sukarelawan Sedunia yang disambut pada 5 Disember.
"Hari ini (semalam) Hari Sukarelawan Sedunia! Saja nak dedikasikan ucapan kepada seseorang yang memang gigih dan buat kita selalu rasa kagum dengan usaha dia selama ini.
"Sebab apabila sebut sukarelawan, mesti teringat terus kat kawanku sorang ni @nurhelizahelmi," katanya.
Menurut Irma, semoga apa yang diusahakan Heliza itu akan menjadi ikutan lebih ramai pihak lain di luar sana.
Perkongsian Irma itu kemudian turut mendapat respons daripada Heliza yang terharu dengan coretannya.
"Amin atas doa. Mu dan sahabat semua semuakena tarik ku masuk syurga. Ku banyak dosa," tulisnya.
Heliza yang juga merupakan bekas bintang Akademi Fantasia Musim ke-5 merupakan artis yang aktif sebagai aktivis mengikuti misi kemanusiaan di Palestin dan Syria sejak 2015.
#pelakon #Irma Hasmie #Pelakon