Penyanyi berbakat besar, Aina Abdul mengakui masih belum berpeluang untuk menyanyikan lagu komposer lain sehingga kini.

Bahkan, sejak kemunculannya dalam industri, pelantun lagu Sumpah itu hanya menyanyikan lagu-lagu ciptaannya sendiri sahaja.

Begitupun, kata Aina, hakikat sebenarnya, dia sebenarnya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer di luar sana untuk menyanyikan lagu-lagu karya mereka.

"Kalau ada yang sudi beri lagu, saya okay sahaja. Saya okey je contohnya, kalau komposer yang selalu berbalas di Instagram saya (nak berkolaborasi).

"Bahkan, kalau ada yang nak tulis sama-sama pun boleh. Cuma, itulah, buat masa ini, belum ada lagi (orang nak beri lagu).. ke saya tak ternampak? Tapi rasanya memang tak ada.

"Mungkin, jalan menyanyikan lagu sendiri itu yang pergi dulu," katanya kepada Astro Gempak.

Aina berkata demikian ketika ditemui sewaktu pelancaran produk Ali Zahraa Medina di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, kata Aina, dia kini juga sudah mula menghasilkan lagu untuk penyanyi lain selepas menerima permintaan daripada beberapa pihak.

Antara penyanyi yang bakal menyanyikan lagunya ialah Elly Mazlein dan Ernie Zakri.

"Sebelum nak hasilkan lagu seseorang, saya akan hadam lagu artis itu selama boleh.

"Dari situ barulah saya boleh tulis lagu untuk mereka. Semua lagu saya buat 'custom-made' bukan yang dah sedia ada dalam simpanan", katanya.

Dalam perkembangan lain, Aina memaklumkan dia juga bakal muncul dengan dua single secara serentak yang masih lagi dirahsiakan judulnya.

Aina mula menceburkan diri dalam industri muzik selepas menyertai program Mentor Legend pada tahun 2014.

Namanya mula menjadi sebutan selepas muncul di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34.

Saksikan program yang menampilakan Aina Abdul di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!