"Kalau Awak Tahu Liverpool Menang, Mesti Berminggu Pakai Jersi" - Farah Ahmad Terkenang Arwah Suami

ZULHILMI JALIL
Jun 26, 2020 07:33 MYT
Kejayaan pasukan kelab bola sepak Liverpool yang dinobatkan sebagai Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas penantian selama 30 tahun diraikan peminat mereka di seluruh dunia.
Namun, di sebalik kejayaan pasukan tersebut, ia mengundang rasa sebak buat pelakon Farah Ahmad yang terkenangkan arwah suaminya, pengarah Pitt Hanif yang merupakan seorang peminat tegar pasukan kendalian Jurgen Klopp itu.
"Selepas 30 tahun menunggu pasukan Liverpool awak menang Liga Perdana Inggeris awak! @pitthanif.
"Ya Allah rindulah kat budak hitam ni. Hari ini semua kawan tag awak pasal Liverpool menang. Semua rindu awak semua ingat awak punya membahan masuk gua," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Dalam entri tersebut, Farah berkongsi satu sedutan video yang memaparkan arwah suaminya ketika berada di stadium menyaksikan perlawanan bola sepak.
Menurut Farah lagi, dia tidak dapat membayangkan bagaimana reaksi arwah suaminya sekiranya dia masih ada meraikan kemenangan tersebut pada hari ini.
"Kalau awak ada memanglah berhari kawan-kawan kena bahan siap sesetengah tu matikan telefon sebab tak tahan kena bahan.
"Hari ni 'koyak' ahh..teringat macam mana kalau awak tahu Liverpool menang, mesti berminggu pakai jersi Liverpool. Rindu awak," luahnya.
Pitt atau nama sebenarnya, Mohd. Firdaus Mohamad Hanif dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui mati lemas ketika keluar memancing di Pahang pada Oktober tahun lalu.
BACA: “Jenazah Telah Ditemui Dalam Keadaan Yang Elok” – Pitt Hanif Telah Ditemui
Farah yang mendirikan rumah tangga dengan anak pelakon veteran, Fauziah Nawi itu dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Liverpool #Farah Ahmad #Pitt Hanif