Penyanyi cantik Daiyan Trisha sedih dan terkilan apabila akaun media sosial Instagramnya digodam kali kedua oleh individu tidak bertanggungjawab.

Kata Daiyan, 24, Instagram umpama portfolio digitalnya dan penting untuk mengesan semula kemaskini yang dibuat sepanjang kerjayanya sebagai seorang penyanyi dan pelakon.

"Bulan lepas (September) akaun Instagram saya digodam sekali lagi selang beberapa bulan sahaja.

"Pertama kali mereka menghapuskan semua gambar saya dan memuatnaik gambar telefon bimbit. Nampak sangat motif mereka untuk tujuan perniagaan.

"Kali ini mereka menggodam akaun Instagram saya dan terus menghapuskan akaun tersebut.

"Sedihlah sebab Instagram umpama portfolio digital saya dan sudah disusun elok-elok untuk memudahkan saya menjejak semula perkembangan karier dan kehidupan saya.

"Kalau benci pun, janganlah kacau kerja saya!

"Namun, selepas saya menghubungi pihak Instagram, saya berjaya mendapatkan semula akaun saya dalam keadaan asal seperti mana sebelum digodam," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single Kita Manusia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Daiyan enggan membuat sebarang spekulasi siapa dalang di sebalik perkara yang berlaku.

"Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi saya maafkan pihak berkenaan dan mendoakan agar dia dimurahkan rezeki supaya tidak kacau rezeki orang lain lagi," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Daiyan yang muncul dengan single terbaharu berjudul Kita Manusia akan mengadakan showcase di The Bee, Publika pada 2 November depan.

Showcase selama sejam itu akan memuatkan sesi perkongsian cerita antara Daiyan dan peminatnya tentang tema kemurungan yang diangkat dalam lagu Kita Manusia.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @daiyantrisha