Pelakon Izreen Azminda berang apabila terdapat individu yang cuba menyebarkan fitnah dengan niat mahu melaga-lagakan dirinya dengan pihak tertentu.

Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam, 34, menyuarakan hal tersebut menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.

"Kalau benci pun jangan sampai nak jadi batu api fitnah benda yang bukan-bukan ye. Awas! Aku tak pernah tau nak post benda-benda mengarut ni di Instagram.

"Dah berzaman aku kena fitnah selama ni aku diam je. Anak luar nikahlah, mabuklah, ambil dadahlah, benda yang tak tercapai akal aku sendiri kadang-kadang yang diwar-warkan tu. Sudah-sudahlah, semua dah ada kehidupan sendiri," tulisnya.

Izreen mengambil pendekatan bersuara selepas ada pihak mendakwa dirinya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dipercayai mengaitkan nama bekas madunya ketika melakukan live di Instagram.

Pelakon drama Lelaki Macam Dia itu turut berkongsi paparan mesej antara dirinya dengan individu yang dikatakan cuba menyebarkan fitnah terhadapnya.

Bagaimanapun, Izreen menafikan dakwaan tersebut.

"Kali terakhir buat live pun dua tahun lepas, agak-agak sikit eh," katanya.



Ujarnya, dia cukup terkilan apabila sehingga kini masih ada lagi pihak yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan individu lain.

"Lepas ni apa-apa lebih baik tanya tuan badan dulu kot rasanya sebelum sembur apa-apa. Sebab kadang-kadang kita tak tahu ada yang sengaja nak laga-lagakan," pintanya.

Individu tersebut kemudian mengemukakan permohonan maaf kepadanya.

Izreen mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude pada Ogos 2017 dengan hidup bermadu dengan Intan Liana Saleh.

Perkahwinan tersebut menimbulkan kontroversi apabila Ude kemudian menceraikan isteri pertamanya.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Aaron Ibrahim pada Jun lalu.