Hiburan
"Kalau Dulu, Saya Akan 'Mengamuk' di Twitter, Tapi Kini.." - Scha Alyahya
Pelakon jelita Scha Alyahya mengakui dirinya pernah menjadikan laman sosial Twitter sebagai tempat untuk meluahkan rasa bengang atau marah.
"Kalau dulu, jika ada perkara yang membuatkan saya tidak puas hati, pastinya saya akan 'mengamuk' di Twitter. Pantang ada perkara yang menimbulkan rasa marah, pasti saya akan meluahkan rasa hati di sana.
"Namun begitu, lama kelamaan, saya belajar yang medium tersebut bukanlah jalan terbaik untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Semakin lama saya bergelumang dalam industri hiburan, saya semakin bijak mengawal keadaan dan tidak mudah terikut dengan emosi," kata isteri kepada Awal Ashaari ini.
Sering dikritik oleh sesetengah netizen tidak bertanggungjawab semenjak wujudnya laman sosial Instagram, Scha mengambil pendekatan untuk tidak melayan perkara yang mendatangkan aura negatif.
"Biarpun kini saya sering dikritik secara melulu oleh haters, saya tidak mahu melayan perkara terbabit. Namun, jika perkara yang mereka bangkitkan itu perlu diperbetulkan, barulah saya akan mencelah dan memberikan respon," katanya.
Scha ditemui di set penggambaran webseries Dua di Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.
Menerusi drama bersiri arahan Michael Ang ini, Scha memegang watak antagonis bernama Daniella.
Selain Scha, webseries ini turut menampilkan Sweet Qismina, Sarifah Sakinah dan Ben Amir.
Drama bersiri Dua ini bakal ditayangkan secara eksklusif di portal Gempak pada awal November ini.