Hiburan
"Kalau Nak Tunggu Bersedia Sampai Bila-Bila Pun..." - Majlis Pertunangan Syafie & Aishah Penuh Romantis
Diiringi dengan lagu-lagu cinta yang cukup indah, majlis pertunangan Syafie Naswip dan Aishah Azman berlangsung penuh romantis di Forest Valley Hall, Cheras, Kuala Lumpur.
Dihadiri oleh 200 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan teman-teman rapat, lima dulang tanda pertunangan pihak lelaki dibalas dengan lima dulang pihak perempuan.
Cincin pertunangan disarungkan sendiri oleh ibu Syafie Naswip, Noorsiah Ahmad ke jari Aishah disaksikan oleh para hadirin.
"Majlis pertunangan ini dirancang dalam masa yang cukup singkat. Tiga bulan sahaja.
"Memang kami mahu bertunang, tetapi majlis dipercepatkan atas permintaan ibu Syafie," kata Aishah ketika ditemu bual oleh Gempak.
Ditanya sama ada dia tidak berasa terlalu muda dan mungkin belum bersedia untuk bertunang dalam usia 23 tahun, Aishah tersenyum.
"Kalau nak tunggu bersedia, sampai bila-bilapun jawapannya belum bersedia.
"Aishah teruja ingin menjadi seorang isteri, mengubah diri menjadi lebih baik," jawap Aishah.
Menurut Aishah lagi, dia juga mendapat banyak nasihat daripada ibunya tentang tanggungjawab bila menjadi seorang isteri nanti. Malah rakan-rakan yang sudah berkahwin juga menjadi tempat rujukannya.
Menurut Syafie pula, dia sangat selesa dengan Aishah. Bermula dengan perkenalan biasa sejak tahun 2015 sehinggalah menjadi serius dalam tempoh setahun lalu, mereka saling melengkapi.
"Saya dan Aishah belajar daripada kelebihan masing-masing. Malah gerak hati saya mengatakan dialah orangnya.
"Cara Aishah melayani orang sekeliling buat saya selesa, kemampuan dia berdikari buat saya selesa dan cara dia menghormati keluarga saya juga buat saya selesa," tambah Syafie sambil tersenyum.
Ditanya mengenai tarikh perkahwinan, kedua-duanya mengakui masih dalam perancangan tetapi akan berlangsung pada tahun ini juga.
"Tak mahu lama-lama bertunang. Orang kata banyak dugaan tempoh bertunang ni, jadi biarlah tak terlalu lama," kata Syafie lagi.
Must-Watch Video