Pengarah terkenal Mat London berkongsi kesudiannya untuk berlakon di dalam Kampong Pisang Bersiri-siri adalah kerana ajakan sutradara drama itu sendiri yang merupakan rakan seperjuangan, Mamat Khalid.

Menurut Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, dia terpanggil untuk terlibat dalam drama premium terbitan Astro Originals ini kerana mengenangkan Mamat yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga.

“Kalau orang lain yang ajak, mugkin saya tak datang. Disebabkan Mamat Khalid dengan saya dah macam keluarga, saya rasa apa salahnya saya berlakon dalam karya dia.

“Saya juga mengenali dia sebelum dia jadi pengarah lagi. Jadi ada baiknya saya datang untuk berlakon sebagai tanda sokongan dan memberi sumbangan,” jelasnya pada sidang media pelancaran drama Kampong Pisang Bersiri-siri baru-baru ini.

Memegang watak sebagai Pak Karim, salah seorang penduduk kampung yang disegani, Mat London menggelarkan Mamat sebagai pengarah yang hebat dan berpengalaman.

“Masa hari penggambaran, saya tak tahu apa watak saya. Saya hanya diberitahu akan menjadi Pak Karim, tanpa mengetahui latar belakang Pak Karim, skrip memang takde, Mamat pun kata ala takpe, datang je nak tengok muka.

“Mengenali Mamat, dia ada identiti tersendiri dan ia sukar dicari pada pengarah lain di negara kita. Mamat Khalid ni stand alone, orang lain tak boleh jadi Mamat Khalid,” ujarnya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).