Berita
"Kalau Post TikTok Jadi Trend Tak Apa, Kenapa Bab Agama Je Kena Diam-Diam?" - Emma Maembong Minta Netizen Jangan Jadi Negatif
Pelakon popular Emma Maembong meluahkan rasa hairan dengan sikap segelintir netizen yang suka mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang berkongsi hal mengenai amalan kebajikan dan keagamaan di media sosial.
Menurut Emma, 28, tiada salahnya sekiranya seseorang individu itu berkongsi mengenai amalan baik yang dilakukan di media sosial kerana ia secara tidak langsung dapat menggalakkan orang ramai untuk melakukan perkara yang sama.
"Pelik zaman sekarang, kalau post TikTok tak apa, jadi trend, ramai-ramai akan ikut. Bila post bab agama mesti ada komen 'nak tunjuk lah tu", nak perli-perli.
"Bagi Emma kalau benda baik kita buat boleh gerakkan hati orang lain buat sekali, apa salahnya? Kenapa bab agama je kena simpan diam-diam tak boleh war-warkan?
"Jadi tolong jangan negatif sangat. Ada orang post sedekah pun kena kecam. Dengan tengok orang post sedekah buat kita tergerak hati nak sedekah sekali atau teringatkan kita untuk sedekah kan bagus," luahnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Menurut Emma lagi, masyarakat kita sepatutnya lebih bersikap positif dan tidak melihat dari aspek negatif terhadap posting yang menggalakkan orang ramai ke arah kebaikan.
"Jangan bila orang post agama je nak kecam. Lama-lama semua orang takut nak post.
"Akhirnya pasal agama semua dah senyap di Instagram, hanya tinggal cabaran yang merepek untuk diviral atau menari-nari TikTok. Tolong selalu jadi positif," pintanya.
Perkongsian Emma itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalanga pengikutnya yang bersetuju dengan apa yang diperkatakan.
"Betul, yelah asyik scroll Instagram je, elok juga ada orang ingatkan pasal solat. Kadang-kadang tak perasan dah masuk waktu solat.
"Betul tu Emma, abaikan sahaja pemikiran negatif dan sempit manusia," komen sebahagian netizen.
Terdahulu, dalam posting tersebut, Emma turut berkongsi sebuah video yang memaparkan dirinya yang baru selesai menunaikan solat jemaah bersama suami, Muhammad Shazli Azhar dan bapa mentuanya.