Pengarah, penerbit dan pelakon Erma Fatima akui pengambilan pelakon komersial ke pentas teater adalah disebabkan populariti yang dimiliki.

Menurut Erma, jikalau hanya dirinya yang berlakon, agak susah untuk menarik penonton hadir memandangkan menonton teater bukan budaya masyarakat Malaysia.

“Ini memang selalu dipertikaikan apabila saya membawa masuk pelakon komersial ke pentas teater sehinggakan saya berasa tidak kisah.

“Mereka ini adalah pelapis-pelapis yang akan menjadi pelakon hebat suatu hari nanti.

“Mereka harus mengenal apa itu lakonan teater. Menonton teater bukan budaya masyarakat kita.

“Terlalu susah untuk kita membawa orang untuk datang menonton teater. Kalau setakat saya yang berlakon belum tentu panggung itu penuh.

“Jadi saya menggunakan populariti pelakon itu untuk menarik penonton datang ke Istana Budaya.

“Tidak ada dosa atau salah pun. Lainlah kalau mereka tidak pandai berlakon ataupun kayu,” katanya kepada Gempak.

Erma ditemui usai pementasan teater Pawana Isabella yang diadakan di Istana Budaya pada malam Rabu lalu.

Tambah Erma dia mengambil risiko apabila membuat keputusan mengambil pelawak dan penyampai radio Johan sebagai salah seorang pelakon.

“Saya mengambil risiko paling besar apabila membuat keputusan untuk mengambil Johan.

“Ini semua disebabkan populariti yang ada pada dirinya walaupun pada hakikatnya ada orang lain yang mampu membawa watak Johan.

“Mesti orang ramai akan terfikir lawak apa yang akan dibawa Johan pada malam pementasan tersebut tetapi sebenarnya tidak ada. Dia tidak dibenarkan untuk melakukannya,” tambahnya lagi.

Teater Pawana Isabella mula dipentaskan mulai 21 hingga 31 Ogos di Istana Budaya.

Teater arahan Erma Fatima ini dibintangi oleh Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi, Johan dan Ozlynn.