Hiburan
"Kalaulah Lebih Ramai Penyanyi Yang Ada Sikap Seperti Dia" - Cikgu Shafi Puji Sikap Haqiem Rusli
Bertemu dan berbual dengan guru vokal terkenal Syafizawati Sharif atau lebih mesra dipanggil Cikgu Shafi, dia tidak kedekut ilmu berkongsi cerita tentang mereka yang minat dengan pembelajaran muzik.
Pada masa yang sama, Shafi, antara guru vokal yang disegani memuji artis yang sedang meningkat naik ketika ini iaitu Haqiem Rusli.
"Haqiem adalah seorang penyanyi yang sentiasa peka pada setiap persembahan yang ingin dilakukannya.
Malah, dia tidak pernah lokek untuk datang mendapatkan nasihat vokal daripada saya setiap kali dia ada persembahan," kata Shafi kepada Gempak.
Tambah Shafi lagi, setiap penyanyi sebagus mana sekalipun, perlu berlatih sebelum membuat apa juga persembahan terutamanya persembahan pentas yang disaksikan oleh ramai orang.
"Sesetengah daripada penyanyi kita ini bukan sahaja tidak mahu mendapatkan nasihat vokal, tetapi juga malas untuk berlatih. Cukup sekadar mereka menyiapkan diri sehari dua sebelum membuat persembahan, kata Shafi lagi.
Menurut Shafi, bukan sahaja penyanyi baru yang datang mendapatkan nasihat vokal daripada dirinya tetapi juga nama-nama besar di dalam industri seperti Amy Search, Ning Baizura, Siti Nurdiana, Hafiz (sekadar menyebut beberapa nama) kerap datang untuk membuat rujukan sebelum persembahan.
"Belajar dan latihan vokal tidak pernah habis. Sebab itu saya selalu tekankan supaya mendapatkan nasihat dan bimbingan vokal daripada mana-mana guru vokal yang ada, tidak kiralah lama mana anda berada di dalam industri.
"Seperti Haqiem Rusli, dia datang bertemu saya bukan setakat untuk penyiapkan diri dari segi latihan sahaja, tetapi juga dari segi 'vokal and mental health'. Perkara inilah yang sangat penting kepada seorang penyanyi," tambah Shafi lagi.
Shafi bakal mengadakan satu bengkel vokal yang akan berlangsung di Silka Hotel Johor Bahru pada 14 Disember ini. Bengkel tersebut akan menumpukan kepada kursus asas vokal dan mengambil masa satu hari.
Jika anda berminat untuk belajar vokal dan mengetahui tahap kemampuan vokal anda, jangan lupa ke Instagram Shafi di @cikgushafi dan boleh mendapatkan maklumat penuh di sana atau hubungi 017-675 2630.
Must-Watch Video