Kumpulan girl group baharu, Stellar kini sudah bersedia untuk melibatkan diri secara serius dalam industri hiburan tanah air.

Stellar yang dianggotai oleh empat wanita muda, Farisa, Hasya, Sheena dan Hany ini muncul dengan mempertaruhkan lagu pengenalan mereka berjudul Where You Wanna Go.

Menurut Stellar, sebelum ini kereka berempat tidak pernah terfikir untuk masuk ke dalam industri hiburan secara serius dan hanya menunjukkan bakat mereka di platform media sosial popular iaitu TikTok.

“Sebenarnya kami semua ini pada adanya memang berkawan. Bila bertemu kami selalu buat TikTok dan menari sama-sama.

“Kami berempat memang rapat sebelum wujudnya Stellar. Selama ini kalau bernyanyi pun kami hanya buat secara suka-suka, tidak pernah terlintas untuk melakukan kerjaya ini secara profesional.

“Tapi sekarang kami sudah bersedia dan betul-betul serius memilih jalan ini. Sebab itu sebagai persediaan kami juga banyak pergi ke kelas vokal dan tarian,” jelas Farisa ketika ditemui Gempak baru-baru ini.

Mengulas mengenai single pertama mereka iaitu Where You Wanna Go, Stellar berkata walaupun menggunakan judul inggeris, namun ia sebuah lagu melayu yang penuh kata- kata semangat terutamanya kepada kaum wanita.

Selain itu, Where You Wanna Go ini juga menceritakan tentang persahabatan mereka demi menjadi seorang yang berkuasa dan berdikari.

“Where You Wanna Go mengenai sifat perkasa seorang wanita dan tentang diri kami yang mampu berdiri dengan kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain dalam mencapai matlamat kehidupan.

“Selain itu, mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah tentang persahabatan antara kami dalam membina karier sebagai kumpulan wanita.

“Lagu ini juga secara keseluruhannya berkaitan dengan keyakinan diri, antara bait lagu yang kami tekankan adalah seperti “Akulah ratu, dan raja sekali”.

“Ini membawa maksud kita tidak perlu sesiapa untuk mencipta versi diri yang terbaik. Asalkan kita berpegang teguh dengan pendirian dan prinsip yang kuat membolehkan kita untuk hadap apa pun dugaan hidup menimpa kita,” kata Farisa.

Menerusi lagu mereka, Stellar juga menekankan sebagai wanita, mereka perlu memiliki sifat berdikari dan sentiasa mahu memajukan diri.

Ini kerana, sifat begitu amatlah penting agar seseorang wanita tidak mudah ditindas.

"Kami dapat inspirasi daripada kawan-kawan, saudara mara wanita dan juga ibu kami sendiri. Mereka yang terdekat ini termasuklah kami sendiri banyak mengharungi dugaan masing-masing.

“Tetapi syukur, alhamdulillah kerana wanita-wanita ini tidak pernah mengalah dalam menempuh dugaan.

“Lagu ini juga cukup istimewa buat kami kerana sebelum ini antara kami pernah diperlekeh oleh orang sekeliling dan dikatakan terlalu manja sewaktu membesar.

“Namun sekarang kami ingin buktikan dengan adanya keyakinan dan dikelilingi oleh orang yang tepat kami mampu lakukannya.

“Where You Wanna Go juga dapat semaikan sifat seseorang yang kami mahu jadi seperti seorang wanita yang gagah, berdikari, seksi, dan tegas dalam sesuatu perkara” kata Stellar.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun lalu dan bernaung di bawah Sony Music Malaysia ini juga berharap mesej utama lagu ini mampu meresap ke dalam sanubari setiap pendengar khasnya wanita.

“Kami berharap sangat pendengar boleh kaitkan lagu ini dengan diri mereka secara tidak langsung menyebarkan mesej-mesej lagu ini kepada wanita yang lain.

“Walaupun kami baru bermula dan ada kekurangan, tapi kami janji akan sentiasa bekerja keras tunjuk menghasilkan karya yang terbaik buat semua pendengar.” kata Huny.

Where You Wanna Go boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, YouTube dan YouTube Music.