Aktres jelita, Aprena Manrose mendedahkan ingin memperlahankan perjalanan karier seni bagi memberi tumpuan sepenuhnya untuk mendapatkan zuriat.

Kata Aprena, dia dan suami, Mohd Afiq Hazman baru sahaja bertemu dengan doktor dan melakukan rawatan kesuburan.

"Perancangan saya pada tahun ini memang nak perlahankan sedikit karier seni. Tapi tidak bermaksud saya mahu berhenti terus.

"Saya masih terbuka untuk menerima tawaran berlakon tetapi saya akan mengikut waktu yang bersesuaian.

“Sebenarnya azam saya pada tahun ini adalah nak timang cahaya mata. Ini merupakan tahun keempat saya berkahwin dan semestinya saya mengimpikan nak ada anak.

"Selama ini, saya dan suami tak pernah buat pemeriksaan apa-apa tapi pada Disember tahun lalu kami buat keputusan untuk bertemu doktor.

"Kami sudah lakukan pemeriksaan kesuburan tapi keputusan belum tahu lagi dan ada beberapa proses yang perlu kami lakukan selepas ini," katanya kepada Gempak.



Aprena ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jodoh Syaitan yang diadakan di e@Curve Damansara, Petaling Jaya.

Tambah pemilik nama Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman ini dia dan suami tidak pernah merancang dalam soal anak sepanjang perkahwinan mereka.

"Kami tidak pernah merancang sebelum ini cuma belum lagi dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Suami langsung tidak memberikan tekanan kepada saya sebaliknya dia sangat memahami.

“Perasaan nak ada anak itu cukup kuat apabila sekarang ini saya sudah mencapai semua impian saya seperti berlakon drama dan filem.

"Insya-Allah, saya berharap semua peminat boleh mendoakan yang baik-baik untuk saya dan suami," katanya lagi.

Selain Aprena, filem ini turut dilakonkan oleh barisan pelakon hebat antaranya Soffi Jikan, arwah Abam Bocey, Jay Iswazir, Kamarul Yusoff, Fauziah Nawi dan ramai lagi.

Filem Jodoh Syaitan ini bakal memulakan tayangan di pawagam seluruh negara mulai 5 Mac.