Kanak-Kanak Empat Tahun Didera Ibu Angkat Ditempatkan Di Pusat Jagaan JKM - Rina Harun
Shahrin Zulkifle
24/07/2022 02:00 MYT
24/07/2022 02:00 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menempatkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki didera ibu angkatnya, di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kanak-kanak itu yang kini sedang menerima rawatan lanjut di hospital akan ditempatkan di pusat jagaan itu sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.
"Pihak JKM telah hadir ke hospital bersama pelindung kanak-kanak untuk meneruskan siasatan selain memastikan dia dijaga dengan lebih baik.
"Apa yang penting sekarang ialah kita mahu pastikan kanak-kanak itu terus berada dalam keadaan yang sihat apabila dibenarkan keluar dari hospital nanti," katanya ketika diminta mengulas mengenai kes penderaan membabitkan kanak-kanak itu.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita yang dipercayai ibu angkat kepada kanak-kanak berusia empat tahun tersebut telah memukul anak angkatnya itu menggunakan kayu penyapu hanya kerana mangsa enggan makan nasi.
BACA: Viral Pengasas Produk Dera Budak 3 Tahun Dengan Batang Penyapu? Instafamous Buat Laporan Polis
Sementara itu, Rina berkata pihaknya turut berterima kasih kepada individu yang melaporkan kejadian berkenaan dan berharap masyarakat umum sentiasa prihatin serta cakna dengan kes penderaan yang mungkin berlaku di sekeliling mereka.
"Sekiranya ada yang mengetahui kes penderaan, perkara pertama yang mereka boleh lakukan ialah buat laporan polis atau menghubungi Talian Kasih menerusi talian bebas tol 15999. Mereka juga boleh terus pergi ke mana-mana Pejabat JKM yang terdekat untuk melaporkan kejadian itu," tambahnya.
Sumber - Awani