Hiburan

Karaoke 46 Buah Lagu Didi & Friends Di Astro First

gempak
Ahmad Shah
30/05/2016
04:24 MYT
Sponsor Banner
Karaoke 46 Buah Lagu Didi & Friends Di Astro First
Buat julung kalinya Astro First membawakan siri lagu kanak-kanak Didi & Friends ke saluran mereka serta memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak menyanyi karaoke bersama.
Sebanyak 20 lagu baru telah dihasilkan khas buat peminat Didi & Friends dan sudah boleh dilanggan di saluran Astro First bermula 26 Mei lalu.
Menerusi langganan serendah RM 15.90 (termasuk GST), pelanggan Astro boleh menyanyi bersama Didi dan rakan-rakannya tanpa henti, pada bila-bila masa sahaja selama lima hari berturut-turut.
Lebih menarik lagi, pelanggan turut boleh menikmati lagu-lagu terdahulu dan ini membolehkan anak-anak dan ibu bapa berpeluang menyanyi dan menari kesemua 46 buah lagu secara ekslusif di saluran 480.
Untuk versi karaoke atau vokal, pilihan boleh dibuat menerusi tetapan audio di alat kawalan jauh Astro.
Dengan tagline ‘Jom Nyanyi! Hora Horey!’, kesemua 20 lagu baharu dalam Bahasa Malaysia ini merupakan adaptasi lagu kanak-kanak dan rakyat popular daripada bahasa lain termasuklah Tepuk Amai Amai, Jambatan Sedang Roboh (Lagu Bahasa Inggeris – London Bridge), Keldai Comel (Lagu Bahasa Mandarin – Xiao Mao Lu), Pak Beruang (Lagu Bahasa Tamil – Karadi Mama) dan juga Bermain Dalam Bulatan (Lagu Bahasa Indonesia – Bermain Dalam Lingkaran).
Penolong Kanan Naib Presiden Saluran Astro First & Astro Best , Sharmin Parameswaran, berkata, Astro gembira apabila siri Didi & Friends yang disiarkan di saluran Astro Ceria sejak Disember lalu mencatat sejarah sebagai program kanak-kanak paling banyak ditonton di kesemua saluran Astro.
“Ibu bapa di luar sana memberikan maklum balas positif di mana anak-anak mereka cukup terhibur dengan lagu-lagu yang dinyanyikan Didi dan rakan-rakannya dan rata-ratanya mahukan lebih lagi kandungan.
“Maka dari situ, tercetuslah idea untuk menghasilkan saluran karaoke ini di mana ia memberi peluang kepada anak-anak di rumah menyanyikan lagu-lagu Didi & Friends yang biasa mereka dengari. Kami begitu teruja menantikan reaksi anak-anak dengan adanya edisi karaoke istimewa ini,” katanya.
Pengasas Digital Durian, Sinan Ismail, pula berkata, mereka tidak menyangka Didi & Friends mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.
“Kami amat gembira apabila siri Didi & Friends diterima baik semua lapisan masyarakat di luar sana. Peluang berkerjasama dengan Astro dalam menjadikan Didi & Friends ke dalam format karaoke menunjukkan bidang animasi di Malaysia kini sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Terima kasih kepada pihak MDEC dan MAC3 yang telah banyak menyokong siri animasi Didi & Friends. Sudah pasti, elemen pendidikan menerusi penerapan nilai-nilai murni dalam lagu Didi & Friends di samping pemantapan bahasa Melayu yang kita tampilkan dalam lirik lagu Didi & Friends antara faktor yang berupaya membantu perkembangan minda anak-anak di rumah,” ujarnya.
Tambahnya, pihak Digital Durian mendengar permintaan penonton yang bertanyakan mengenai lagu-lagu baru dalam siri ini.
“Sebab itulah kami hasilkan 20 lagu baru istimewa untuk edisi karaoke ini, dan menjadikan saluran karaoke ini satu saluran yang menyeronokkan buat anak-anak kita apabila mereka berpeluang menyanyikan kesemua 46 lagu dalam siri ini,” katanya.
Sinan berkata demikian ketika ditemui Astro Gempak pada satu sidang media yang diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur.
Lebih menarik lagi, kesemua 26 lagu Didi & Friends yang terdahulu juga telah dialih bahasa ke Bahasa Mandarin dan disiarkan di saluran ‘edutainment’ kanak-kanak berbahasa Mandarin, Astro Xiao Tai Yang.
Dalam perkembangan lain, Didi & Friends juga dijangka akan menemui penonton setia di rumah dalam format siri animasi yang lebih panjang dan lebih interaktif.
Khas untuk peminat Didi & Friends di luar sana, kesemua 26 lagu siri pertama akan turut menemui penonton dalam format DVD dan boleh didapati di kedai-kedai muzik terpilih bermula 27 Mei lalu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live