Angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor meluahkan rasa kasihan dan simpati pada isterinya, Datin Dr Halina yang keletihan dan kekurangan tidur kerana perlu menghantar anak kembar mereka ke taska setiap pagi.

Menerusi laman sosial Instagram, Dr Sheikh muszaphar berkongsi video mengambil alih tugas isterinya itu yang dilakukan sebelum pergi ke tempat kerja.

“Selalunya Dr Halina akan hantar anak kembar ke taska sebelum pergi kerja. Tapi nampak dia menyusu badan pada jam 5 pagi sambil tertidur di kerusi, saya rasa simpati. Saya tahu dia tak cukup tidur.

“Jadi saya ambik keputusan hantar mereka, jadi inilah dia. Selamat pagi semua, love always,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menerusi video berdurasi kurang satu minit itu, kelihatan Dr Sheikh Muszaphar memandu kereta seawal 7.15 pagi bagi menghantar Emelia dan Eusoff ke taska.

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar)

Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya memuji tindakan Dr Sheikh Muszaphar yang sukarela mengambil alih tugas isterinya dikala Dr Halina keletihan.

“Lelaki melayu terakhir. Hensem, pandai agama, kuat semangat, rajin, memahami isteri. Sapa kata lelaki melayu takde yang baik dan hebat?” puji seorang wargamaya.

“Seronok dan happy tengok Dr layan dan jaga anak-anak. Semoga Allah permudahkan urusan Dr Shiekh besarkan anak-anak,” doa seorang wargamaya.

“Kalau camni bapaknya, Dr Halina beranak lagi pun takpe. Tugas sama dipikul, dijinjing,” kata seorang wargamaya.

“Bila semua suami macam Dr Sheikh, aman sejahteralah hidup kaum hawa,” komen seorang wargamaya.

“Alhamdulillah suami yang memahami dan boleh diharap. May Allah bless you,” luah seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, video tersebut telah mencecah hampir 100,000 tontonan daripada pengikutnya.

Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar, 49 tahun, dan Dr Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 10, Sophea Natasha, 8, anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 4, serta pasangan kembar Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia yang baru lahir pada November tahun lalu.