Biarpun spekulasi bertebaran di media sosial sejak sebulan lalu, bintang Bollywood, Katrina Kaif akhirnya mengumumkan telah selamat berkahwin dengan Vicky Kaushal.
Berkongsi perkara terbabit di Instagram lewat malam tadi, pasangan merpati dua sejoli itu mengenakan sepersalinan pakaian tradisional India rekaan Sabyasachi Mukherjee dalam majlis gilang-gemilang yang telah berlangsung di hotel mewah Rajashtan, India.


BACA: Didakwa Bakal Berkahwin 9 Disember, Katrina Kaif 'Terbangkan' 200 Tetamu Ke Hotel Mewah
Seperkara yang menarik perhatian ramai adalah hak penyiaran perkahwinan mega pasangan itu telah diberikan kepada Amazon Prime yang telah menyiarkan majlis itu secara telecast.
Pasangan itu telah mengikat perjanjian bersama syarikat penyiar terbabit dengan nilai berjumlah 80 crore rupee atau bersamaan dengan RM44 juta untuk liputan selama empat hari majlis perkahwinan mereka.
Difahamkan, video rasmi majlis perkahwinan Katrina dan Vicky akan disiarkan di platform digital pada awal 2022.
Disebabkan kontrak yang mahal itu juga, setiap tetamu yang hadir perlu menandatangani akujanji (NDA - non-disclosure agreement) bagi mengelakkan sebarang visual terbocor sebelum ia sempat distrim di OTT.
Pada 6 Disember lalu, nota alu-aluan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan mereka di Fort Barwara mula diperkatakan ramai.
"Kami memohon jasa baik anda untuk meninggalkan telefon pintar di dalam bilik masing-masing dan ditegah daripada memuatnaik sebarang gambar atau menggunakan sosial media sepanjang majlis," tulis nota itu.


Majlis perkahwinan itu juga menggunakan kod rahsia kepada 120 orang tetamu yang hadir.
Sumber: The News International, Times Of India