Anggota kumpulan Floor 88 iaitu Eric Fuzi meluahkan rasa berang terhadap seorang selebriti yang bersikap ‘demand’ dalam meminta bayaran untuk membintangi video muzik (MV).

Tanpa mendedahkan identiti selebriti itu, Eric memaklumkan bayaran yang diminta individu itu sebanyak lima angka biarpun namanya tidak dikenali ramai.

“Kau berlakon pun menumpang cerita yang viral. Tapi nama kau pun tak hype mana tapi kau punya minta payment itu satu music video sampai lima angka?!

“Kau siapa b*b*?! Tak lama la kau… masa diorang sebut nama kau pun aku tak kenal sangat. Tapi kita nak bagi peluang kat artis-artis baru ini untuk terus berkembang.

“Tapi maaflah kau punya feeling feeling tu membantutkan karier kau,” luah Eric.

Dalam pada itu, Eric turut memberi nasihat dari segi bayaran dengan mengaji semula kos produksi dan rate selebriti yang masih relevan.

“Nak letak payment tu biarlah yang berpatutan. Cuba kaji average kos produksi dan rate artis yang relevan sikit,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, usaha Gempak untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Eric belum berjaya memandanhkan dia masih tidak menjawab mesej yang dihantar.