Radio GEGAR menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 dengan fasa pertama ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’ pada 20 Ogos 2020 di sekitar Kelantan yang disertai oleh sejumlah 63 pengayuh.

Antara pengayuh-pengayuh ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’ di Kelantan termasuk Shah Muhammad, personaliti GEGAR; YM Tengku Mahisham Tengku Mustapha, cucu saudara kepada YAM Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim ibni al-Marhum Sultan Ibrahim; Mohd Badhri Mohd Radzi (Piya), pemain bola sepak terkenal Kelantan, serta belia-belia di Kelantan.

Kayuhan ini dimulakan dengan melalui bandar Kota Bharu di daerah sekitar Tanjung Chat, Pantai Sabak, Pantai Cahaya Bulan dan seterusnya kembali ke Tanjung Chat. Pengayuh-pengayuh juga mengunjungi beberapa lokasi bersejarah dan menarik di Kelantan termasuk Masjid Ar Rahman dan Tugu Peringatan Jepun.

Menariknya, kayuhan ini merupakan fasa pertama daripada kayuhan yang akan merentasi sebanyak 63 kilometer di sekitar Pantai Timur: 32 kilometer di Kelantan dan kayuhan fasa kedua untuk 31 kilometer di Terengganu pada 27 Ogos yang bakal disertai oleh Mohd Harrif Saleh, jaguh berbasikal dan pakar pecut negara.



"Kami gembira dapat meraikan Hari Kemerdekaan tahun ini bersama para peminat dan belia di Pantai Timur Malaysia. Kami juga berharap ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’ dapat memupuk rasa penghargaan yang lebih mendalam kepada negara kita sambil meneroka lokasi bersejarah dan tempat-tempat yang menjadi tarikan pengunjung.

"Pada masa yang sama, kayuhan ini juga menggalakkan gaya hidup sihat bagi semua. Kami berterima kasih kepada semua peminat-peminat GEGAR atas sokongan mereka yang juga menjayakan ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’," kata Raja Nadia Salwana Raja Hisham selaku Pengurus Kandungan GEGAR.

Program ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’ ini mendapat kerjasama Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia, Kelantan (MITA), Persatuan Kelab Belia Malaysia, Kelantan (MAYC), GoKelantan.com dan badan bukan kerajaan (NGO).

Maklumat lanjut berkaitan ‘Kayuhan Merdeka GEGAR’ dan kempen-kempen boleh didapati menerusi www.gegar.my atau ikuti GEGAR di platform media sosial Facebook dan Instagram.