Filem seram Indonesia, Ghost-Danur: I Can See Them kini sedang rancak ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 4 Mei lalu.

Menerusi naskah arahan sutradara Awi Suryadi ini, Ghost-Danur: I Can See Them mengangkat kisah sebenar.

Filem Ghost-Danur: I Can See Them merupakan filem hasil adaptasi novel terkemuka berjudul Danur karya penulis Risa Saraswati.

Menariknya, kisah yang diceritakan dalam novel dan divisualkan dalam filem merupakan pengalaman peribadi penulis itu sendiri yang mempunyai kelebihan untuk berkomunikasi dengan makhluk halus.

“Saya menganggap ini sebagai satu kebolehan. Saya menyedari perkara ini semasa kecil dan sehingga kini, saya masih boleh berkomunikasi dengan mereka

“Apa yang saya lalui sepanjang pengalaman saya berkomunikasi dengan makhluk halus ini saya ceritakan dalam novel saya yang berjudul Danur,” kata Risa kepada Astro Gempak.

Selepas karya tulisan Risa menjadi fenomena di Indonesia, novel ini diadaptasikan ke layar perak menerusi judul Ghost-Danur: I Can See Them.

“Selepas novel saya menjadi sebutan ramai pihak, akhirnya karya saya diangkat dalam filem Ghost-Danur: I Can See Them.

“Selepas filem ini mencipta kejayaan yang membanggakan di Indonesia, saya teruja apabila filem ini turut ditayangkan dan menemui peminat serta penggemar filem di Malaysia,” katanya lagi.

Filem ini bercerita mengenai Risa yang mampu berhubung dengan makhluk halus. Pada sambutan hari lahir Risa yang kelapan, dia membuat satu permintaan luar biasa.

Kerap bersendirian di rumah kerana ibunya sibuk bekerja, Risa mengimpikan kehadiran kawan-kawan untuk bermain. Selepas itu, muncul Jhansen, Peter dan William yang mula membuatkan kehidupan Risa diselubungi mistik.

Filem Ghost-Danur: I Can See Them Prilly Latuconsina (Risa), Sandrinna Michella Skornicki (Riri), Shareefa Daanish (Asij), Asha Kenyeri Bermudez (Risa kecil), Indra Brotolaras (Andri), Kinaryosih (Elly), Ingrid Widjanarko (nenek), Wesley Andrew (William), Kevin Bzezovski Taroreh (Jhansen), Gamaharitz (Peter), dan Fuad Haris (Ujang).

Teks oleh: Kamaruddin Razal