Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kecoh Sedang Sakit Atau Sekadar Efek Solekan, Ustaz Kazim Buka Cerita Sebenar - “Saya Malu…”

Izwan Isa
19/05/2022 03:20 MYT
Semalam, kecoh di laman sosial apabila pendakwah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan yang dia sedang mengalami sakit misteri yang masih tiada ubatnya. Sungguhpun begitu, telah terbongkar sakit yang dinyatakan beliau adalah sekadar solekan kesan khas untuk filem Zim Zim Ala Kazim.

Justeru, mungkin selepas timbul kekeliruan, Ustaz Kazim tampil membuat penjelasan selepas pelbagai telahan tentang beliau mula bertebaran di media sosial selain komen-komen di hantarannya sebelum ini.

“Terima kasih atas ribuan yang komen. Selama ini saya simpan keadaan diri saya tetapi selepas berusaha mendapat rawatan moden dan tradisional selama lapan bulan ni, saya rasa saya tak boleh lagi sembunyi dari orang ramai.

“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak. Bukan hanya di muka malah seluruh badan. Ia boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena.

“Saya tak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu, saya rasa rendah diri sangat-sangat. Sebab itu saya siarkan lengan petang tadi (semalam) sebagai kiasan pada badan saya,” tulisnya di akaun Facebook.

BACA: “Ustaz Memang Pernah Kena Sihir Teruk” - Lepas Netizen Doakan Kesembuhan Ustaz Kazim Yang Didakwa Hidap Sakit Misteri, Rupanya…

Ustaz Kazim menjelaskan yang dia memerlukan pertolongan baik doktor atau pengamal perubatan alternatif untuk merawat keadaannya sekarang.

“Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tak boleh lg saya sorok. Saya tidak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas. Saya bimbang dengan keadaan saya ini akan menghilangkan saya dari dunia dakwah saya.

“Walaupun sakit tetapi tetap saya terima semua jemputan ceramah dan pogram. Kadang-kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-geas kerana tak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Kazim turut mengakui dilabel sombong kerana tidak beramah mesra dengan tetamu dan pendengar seperti dahulu.

“Saya tabahkan hati sebab saya tahu orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya. Terima kasih pada yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepada saya. Saya dah berusaha berubat di banyak tempat tapi belum diberi keizinan oleh Allah.

“Mungkin ada dalam kalangan tuan puan yang boleh membantu saya, maka dengan itu saya siarkan gambar lengan effect khas itu sebagai kiasan.

“Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya mengguris hati anda,” tutupnya.

Menerusi ruangan komen, ramai yang memberi pelbagai cadangan dalam mencari rawatan alternatif agar kesihatan beliau kembali seperti sedia kala.

#Ustaz Kazim Elias #Sakit Misteri
;