Penyanyi dan pelakon Kaka Azraff akui perasaan kehilangan bapa sejak usia 10 tahun membantu dirinya untuk membintangi filem Zharfa.

Menurut Kaka, watak Zharfa yang dilakonkan itu begitu mencabar dan banyak bermain dengan emosi sehingga menyentuh jiwanya sebagai seorang anak.

“Filem Zharfa ini berkaitan dengan keluarga jadi sudah pasti emosinya juga turun naik. Kebanyakan babak dalam cerita ini berkaitan dengan hubungan antara bapa dan anak.

“Saya dapat menjiwai watak itu kerana saya sudah tidak mempunyai bapa. Saya kehilangan bapa sejak berumur 10 tahun lagi.

“Filem ini tiada kaitan dengan kisah hidup saya cuma perasaan kehilangan dan membesar tanpa bapa itu membantu saya menghidupkan ‘Zharfa’ dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kaka berkata demikian ketika sesi sidang media filem Zharfa yang berlangsung di pusat khidmat penjagaan berpantang di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dalam pada itu, Kaka juga memberitahu dia dilayan dengan baik sepanjang penggambaran filem tersebut berlangsung.

“Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk membintangi filem ini, banyak yang saya belajar terutamanya daripada tuan pengarah dan pelakon-pelakon yang terlibat.

“Terima kasih kepada pengarah kerana layanan yang baik dan memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak Zharfa,” ujarnya.

Selain Kaka, filem arahan pengarah Indonesia, Ruli Wanisar ini menampilkan pelakon dari seberang antaranya Donny Alamsyah, Bentari Ayu, Shelomita dan Qazem Noor.

Filem usahasama produksi Malaysia dan Indonesia ini bakal ditayangkan di 35 pawagam bermula 7 November depan.