Terkini
Keluar Daripada Kelompok Hero Romantik, Saharul Ridzwan Letak Jangkaan Tinggi Dalam Filem Coast Guard
Pelakon Saharul Ridzwan akui berasa tertekan selepas menerima tawaran berlakon sebagai Leftenan Hafiz dalam filem Coast Guard.
Menurut Saharul, tekanan itu membuatkan dirinya rasa tidak senang duduk dan berjanji akan melakukan sebaik mungkin.
"Saya akui harapan dan jangkaan penonton untuk filem ini memberi satu tekanan kepada saya. Contoh yang kita boleh lihat ialah filem Paskal, sangat berjaya.
"Impak tekanan itu membuatkan saya tidak berasa senang duduk. Namun ada bagus juga tekanan itu. Kalau saya tak rasa cabaran itu, saya akan buat main-main.
"Saya akan melakukan dengan bersungguh-sungguh kerana sudah meletakkan jangkaan yang tinggi memandangkan ini merupakan filem aksi pertama saya," katanya kepada Gempak.
Tambah Saharul, dia berasa bersyukur kerana dapat keluar daripada watak hero romantik.
"Selama lapan hingga sembilan tahun berlakon, saya memang idamkan untuk berlakon dalam filem aksi.
"Sudah banyak kali saya minta, Alhamdulillah dapat juga tawaran pertama.
"Saya berjaya untuk keluar dari kelompok hero-hero romantik yang memang sinonim dengan diri saya," katanya lagi.
Mulai bulan Ogos, Saharul akan mula menjalani penggambaran filem Coast Guard yang akan dijalankan di sekitar Langkawi, Perlis dan Kuantan.
Selain Saharul, filem yang diarahkan oleh pengarah tersohor tempatan, Hashim Rejab turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Emma Maembong, Julia Farhana, Sabri Yunus, Aziz M Osman, Hazama, Black dan ramai lagi
Must-Watch Video