Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Keluarga Umum Aktor Bruce Willis Nyanyuk

Maliah Surip
17/02/2023 15:50 MYT
Salah satu aktor terbaik Hollywood, Bruce Willis akhirnya meninggalkan dunia seni kerana masalah kesihatannya.

Keluarga Willis mengumumkan bintang filem Die Hard itu disahkan mengidap demensia atau nyanyuk.



Diagnos tersebut menutup keresahan mereka berkaitan masalah yang dihadapi Willis Sejak beberapa tahun lalu.

Dengan terjawabnya penyakit sebenar Willis, pihak keluarga melalui kenyataan yang diberikan kepada media tempatan melahirkan rasa lega.

“Kami lega kerana akhirnya menerima keputusan diagnos yang sebenar iaitu demensia.

“Sehingga hari ini tiada ubat untuk penyakit ini tetapi kami tetap berharap beliau akan mendapat kesihatan yang baik pada masa akan datang,” tulis kenyataan yang dikeluarkan, lapor BBC.

Dalam kenyataan sama yang ditandatangani isterinya, Emma Heming, Willis dan keluarga sangat berharap agar sesiapa yang diserang nyanyuk dan orang sekitar yang mempunyai keluarga dengan masalah sama mengambil berat tentang penyakit tersebut.

Penyakit nyanyuk biasa menyerang individu berusia sekitar 60 tahun dan ke atas. Willis kini berusia 67 tahun.

Tahun lalu keluarga Willis mengatakan aktor itu mungkin tidak akan meneruskan kerjaya lakonannya kerana mengalami masalah kemerosotan ingatan yang teruk.

Willis terkenal sekitar tahun 80-an dan 90-an menerusi lakonan berkesannya, antara lain dalam filem pecah panggung Armageddon dan The Sixth Sense.

#pelakon #Hollywood #Nyanyuk #Bruce Willis #Dimentia
;