Laman Utama
Kemenangan Alyah Dipertikai, Sepatutnya Milik Penyanyi Nasyid? – Hafiz Hamidun Tak Setuju: “Tak Bertudung Pun Boleh Menyanyi Lagu Ketuhanan…”
Bekas ahli kumpulan nasyid, UNIC, Hafiz Hamidun tidak bersetuju dengan ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz yang berpendapat kategori nasyid yang dipertandingkan di mana-mana anugerah seharusnya dikhususkan kepada penggiat seni nasyid yang juga merupakan ahli Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) sahaja.
Kata Hafiz yang juga seorang komposer, dia lebih suka tidak mengkhususkan lagu nasyid itu hanya untuk penyanyi nasyid sebaliknya meraikan semua pengkarya untuk terlibat dalam kategori muzik ketuhanan itu.
“Sebenarnya saya terkejut apabila Azadan keluar kenyataan sebegitu. Bila dia berkata begitu seolah-olah dia menolak orang lain untuk menyanyikan lagu nasyid.
“Jika begitu, adakah Rabbani juga tak boleh terlibat dengan kategori lain sebagai contoh seperti lagu patriotik atau genre tradisional?
“Pada saya pula, saya suka untuk tidak beri eksklusif lagu nasyid itu hanya untuk penyanyi nasyid. Kita sepatutnya meraikan semua orang tak kira mereka tak bertudung atau sebagainya untuk menyanyikan lagu ketuhanan kerana semua orang pun layak masuk syurga,” katanya kepada Astro Gempak.
Hafiz ditemui selepas sidang media Konsert REUNIC Live In Concert The Finale See You Di IPT The Musical yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, pada Selasa.
Hafiz diminta mengulas mengenai isu itu selepas Azadan dalam satu kenyataan kepada media dan media sosial susulan kemenangan lagu Thank You Allah nyanyian Datin Alyah dengan penampilan Cat Farish dan Ustaz Haris dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) pada Ahad.
Tambah Hafiz setiap pandangan yang diberikan terutama di media sosial perlu dilakukan berhati-hati supaya ia tidak mendatangkan kesan yang akan datang.
“Maksud dia itu bagi saya terlalu peribadi. Saya faham mungkin mereka pun ada hantar pencalonan tapi tidak berjaya.
“Saya rasa itu pandangan peribadi dia bagi saya tak setuju dengan pendapat itu.
“Saya sendiri nak bagi pandangan terutama di media sosial iaitu Twitter contohnya, saya sangat berhati-hati kerana bimbang ia bakal memberi impak di masa akan datang,” katanya lagi.
Konsert REUNIC yang menggabungkan kembali terkini Bazli, Fitri Haris dan Fakhrul serta ahli lama yang pernah meninggalkan UNIC dari tahun 2002 hingga kini itu bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober, jam 8.00 malam.
Must-Watch Video