“Dengan bakat yang Umai ada, saya nak orang kenali Umai sebagai Umai. Biarlah Mak Iti menjadi idola dia.”

Itu kata-kata ibu Ummi Umairah, Siti Sairah Tarudin, yang ingin anak sulungnya itu dikenali kerana bakatnya dan bukan kerana ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, lapor Astro Awani.

Apabila ditanya sama ada Umairah ataupun lebih mesra disapa Umai mempunyai potensi untuk menjadi pengganti penyanyi nombor satu negara itu, Sairah hanya berkata masa Umai sebagai penyanyi masih panjang lagi.

“Jika kami nak katakan pengganti, kami tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa yang akan datang.

“Masa Umai masih panjang. Apa yang saya harapkan adalah Umai buat yang terbaik.

“Bakat yang dia ada saya nak orang kenali Umai sebagai Umai, biarlah Mak Iti dia menjadi idola dia,” katanya ketika ditemui di rakaman program Ceria Megastar Ministar pada Ahad.

Tambah Sairah, Ceria Megastar Ministar merupakan pertandingan pertama yang disertai Umai dan amat berbangga dengan pencapaiannya.

Sairah, yang turut bergelar penyanyi, memberitahu bakat menyanyi dalam diri Umai memang hadir sejak beliau berusia empat tahun dan lagu pertama yang sering dinyanyikannya merupakan lagu ‘Let It Go’ dari filem ‘Frozen’.

Memandangkan anak kecil itu mempunyai minat dan nyata dikurniakan bakat, Sairah tidak menghalangnya untuk berjinak-jinak dengan dunia nyanyian meskipun mempunyai jadual persekolahan yang padat.

“Memang tidak menjadi masalah kerana nenek Umai sediakan jadual untuknya, seperti masa untuk berlatih menyanyi, ada masa untuk mengaji dan ada masa untuk dia ke sekolah.

“Jadi ia bukan masalah buatnya dan kerana minat, Umai tidak terfikir ia satu bebanan buatnya.

“Umai gembira dengan apa yang dia buat,” tambah Sairah.

Sementara itu, penyanyi cilik yang mempunyai suara persis ibu saudaranya itu mendedahkan menyanyi hanya sekadar hobi kerana beliau bercita-cita untuk menjadi seorang cikgu.

“Idola Umai tentunya Mak Iti dan ibu.

“Sebenarnya Mak Iti tidak ajar Umai menyanyi, Umai nyanyi sahaja. Jika berjumpa dengan Mak Iti baru kami berlatih.

“Mak Iti bagi nasihat supaya yakin, ‘feel’ dan jangan takut-takut,” kata Umai.

Ceria Megastar Ministar merupakan rancangan realiti pertandingan nyanyian kanak-kanak yang bersiaran mulai 14 Jun lalu di saluran Astro Ceria 611, Prima 105, Prima HD 121 dan Astro Go pada setiap Jumaat jam 9 malam.

Rancangan itu di dihoskan oleh Nabil bersama dua juri tetap iaitu Datuk Aznil Nawawi dan Zizan Razak.

Sumber & Foto: Astro Awani