Berita baik buat penggemar filem Melayu lama, Astro dengan kerjasama I.E. Entertainment bakal membawakan 33 buah filem terbaik Melayu Klasik terus ke ‘pawagam’ rumah anda.

Menampilkan karya daripada penerbit filem-filem Melayu terkemuka era terdahulu iaitu Cathay-Keris Films, seleksi ini akan ditayangkan di Astro Citra dan Astro Prima serta platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand bermula September 2021.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad, selepas lebih sedekad, ini merupakan kali pertama karya-karya tersebut akan ditayangkan di Astro.

“Pihak kami rasa amat berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama bersama Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E Entertainment Pte. Ltd. dalam membawakan 33 filem melayu klasik terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

“Menariknya, kesemua filem tersebut akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platform televisyen berbayar Malaysia.

“Kami percaya nilai hiburan di dalam 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu.

“Pada yang sama memperkenalkan kepada generasi baru kepada filem melayu klasik,” katanya.

Jelas Raja Jastina, filem-filem ini juga merupakan tanda penghargaan buat barisan penerbit serta produksi gergasi dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman melayu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Hajah Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi.

“Kami harap initiatif ini mampu membuatkan karya-karya seni tempatan sentiasa dihargai dan tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama I.E. Entertainment , Indra Suharjono gembira dengan usaha Astro dalam mempersembahkan Filem Klasik Melayu di Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

“Kami percaya Astro adalah rakan kerjasama terbaik dalam mengembalikan nostalgia filem klasik Melayu daripada arkib Cathay- Keris Films kepada penonton muda yang akan menontonnya buat pertama kali.

“Sekali gus mereka melihat bagaimana pembikinan filem yang telah berkembang selama bertahun-tahun. Ini adalah cara yang baik untuk mengenali filem, era, dialek, trend fesyen, gaya, dan proses pembikinan karya Melayu." katanmya.

Difahamkan, kesemua 33 buah filem tersebut adalah antara filem hebat yang pernah ditayangkan pada tahun 1950-an sehingga 1960-an.

Berikut merupakan 33 filem bakal ditayangkan: