Cakna dengan nasib yang menimpa mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor, usahawan berjiwa nurani, Datin Aliza Abu Bakar tampil menghulurkan bantuan telekung bagi memudahkan mangsa mendirikan solat.

Menerusi program Munawwareen Prihatin, Aliza telah memberikan sebanyak 250 pasang telekung kepada mangsa banjir di kawasan terjejas dengan bencana alam itu.


"Telekung adalah salah satu bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir. Ini adalah untuk memudahkan muslimah-muslimah mengerjakan solat.

"Dalam keadaan banjir ini, pakaian semua dah hanyut. Ada yang kotor dan tak boleh cuci. Jadi bila ada telekung itu memudahkan solat.

"Memang pakaian biasa boleh digunakan untuk mengerjakan solat asalkan dah menutup aurat, tetapi dalam keadaan darurat sekarang tak semua pakaian yang ada itu boleh menutup aurat (untuk solat).

"Bisnes saya pun berasaskan pakaian muslimah, jadi tiada salahnya jika saya menghulurkan bantuan telekung. Saya tak kisah apa netizen nak cakap, asalkan saya memudahkan orang.

"Dalam kesempatan ini, saya mengambil cara yang mudah untuk memberikan semua stok saya kepada mangsa banjir.

"Termasuk juga abaya (pakaian muslimah yang menutup aurat) saya tak mengutamakan telekung sahaja. Abaya pun saya sediakan (100 pasang)," katanya kepada Gempak.


Pada Program Munawwareen Prihatin yang diadakan di Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, pengasas Munawwareen Holdings Sdn Bhd itu juga menyerahkan 30 unit lampu solar buat mangsa banjir dan basikal elektronik (E Bike) untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas.

"Kami terlebih dahulu mengenal pasti situasi yang terjadi di beberapa kawasan terjejas banjir. Ada yang terputus bekalan elektrik, ada juga kawasan yang sukar untuk dimasuki oleh kenderaan kerana keadaan jalan yang tidak stabil selepas banjir.

"Jadi selain pakaian, kami menyumbangkan apa yang dirasakan sesuai. Kami memudahkan pihak PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam (JPA) untuk membuat rondaan dengan memberikan E Bike.


"Lampu solar pula kami berikan berdasarkan pengalaman saya berulang alik lebih tiga kali ke Hulu Langat membantu mereka. Ia sangat membantu mereka yang terputus bekalan elektrik.

"Selain itu, sejumlah 23 barangan keperluan asas lain turut disumbangkan program kendalian Munawwareen seperti jaket keselamatan, tuala, sejadah, tong gas, dapur gas, pemanas air, pam air, tikar getah, khemah dan banyak lagi," tambahnya.